Prestasi Pengurusan Kewangan Sabah Sangat Baik

Prestasi-Pengurusan-Kewangan-Sabah-Sangat-Baik.jpg

KOTA KINABALU — Prestasi pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 31 kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah pada keseluruhannya adalah ‘Sangat Baik’, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Laporan itu menyebut, daripada 31 kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang diaudit, 22 mendapat penarafan Cemerlang, enam jabatan/agensi berada pada tahap Baik manakala tiga jabatan dan agensi diberi penarafan Memuaskan.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bukan sahaja dapat mengekalkan tahap pengurusan kewangan yang cemerlang dengan mendapat penarafan lima bintang tetapi juga markah yang diperoleh meningkat dengan ketara,” menurut laporan audit berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu menyebut bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah buat julung kalinya mencapai tahap pengurusan kewangan Cemerlang berbanding sebelum ini yang hanya di tahap Memuaskan.

Bagaimanapun, kedudukan tahap pengurusan kewangan Majlis Ugama Islam Sabah telah menurun daripada kedudukan Baik pada tahun 2015 kepada kedudukan Memuaskan pada tahun 2016.

Sementara itu, laporan audit berkenaan juga menyebut bahawa Jabatan Audit Negara Negeri Sabah yang menjalankan pengauditan secara mengejut pada tahun 2016 ke atas 32 jabatan, pejabat dan agensi kerajaan negeri menemui beberapa kelemahan pada jabatan, pejabat dan agensi kerajaan negeri yang diaudit.

Antara kelemahan itu termasuk kegagalan mempamerkan notis pemberitahuan awam untuk mendapatkan resit rasmi setelah wang dibayar; tiada surat perwakilan kuasa secara bertulis; tiada peti besi/bilik kebal untuk menyimpan wang kutipan dan barang rasmi yang berharga dengan selamat.

Kelemahan-kelemahan lain yang ditemui adalah wang kutipan hanya disimpan di dalam laci yang berkunci; tiada rekod menunjukkan pemeriksaan mengejut dijalankan mengikut tempoh enam bulan sekali; tiada pemeriksaan mengejut dijalankan; tiada daftar pemeriksaan mengejut diselenggara; pegawai yang memegang anak kunci dan kod kombinasi peti besi/bilik kebal tidak diberi kuasa bertulis oleh ketua jabatan.

Selain itu, peti besi tidak dicantumkan ke rangka bangunan; tiada surat yang menetapkan jumlah penggunaan wang bagi perbelanjaan pejabat dan pembelian minyak diesel serta perbelanjaan dilaksanakan tanpa had juga merupakan kelemahan yang didapati pada jabatan, pejabat dan agensi kerajaan negeri, menurut laporan audit berkenaan.

— BERNAMA

Loading...
scroll to top