Pulau Banggi diriba kedaifan

Pulau-Banggi-diriba-kedaifan.jpg

RUMAH salah seorang penduduk di Pulau Banggi, Kudat yang sudah usang. FOTO NSTP

MEMASAK menggunakan dapur kayu dan menadah air hujan bagi mendapatkan bekalan minuman manakala malam mereka pula hanya diterangi cahaya pelita.

Itu sisi kedaifan hidup penduduk tiga perkampungan di Pulau Banggi, Kudat, Sabah yang disaksikan sendiri 31 sukarelawan Muslim Care Eropah (MCE) dan Platform Siswa Islam Malaysia (PRiSM) United Kingdom (UK) sepanjang misi IGNITERS: The PRISM Movement ‘18, hujung Julai lalu.

Pengarah projek Alisayuni Ismail berkata, pihaknya memilih menyantuni penduduk di tiga penempatan berkenaan selepas mendapat maklumat mereka ketinggalan daripada arus kemodenan dan kurang mendapat perhatian orang luar.

Berkongsi pengalamannya Alisayuni berkata, untuk ke Kampung Maligu, Selangan dan Tambising, mereka menaiki feri selama 45 minit dari Kudat ke pekan Karakit sebelum menyambung perjalanan menggunakan pacuan empat roda berikutan laluan berbukit dan hutan belantara.

“Saya sendiri yang kerap menyertai misi kemanusiaan di luar negara belum pernah lagi ada pengalaman sebegini.

SUKARELAWAN membantu penduduk membaiki rumah. FOTO NSTP

“Memang agak menyedihkan dan tak sangka pada zaman moden ini masih ada lagi orang minum air hujan, guna dapur kayu, pakai pelita dan buang air melalui lubang lantai rumah macam zaman dulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.Menurutnya, majoriti sukarelawan mengambil bahagian dalam misi itu adalah dalam kalangan penuntut Malaysia yang belajar di Eropah.

“Penuntut berkenaan memanfaatkan masa terluang sempena cuti musim panas dengan menyantuni penduduk di kawasan pedalaman ini.

“Kami berpeluang menyampaikan bantuan barangan keperluan dapur kepada 100 keluarga dan sejumlah wang tunai kepada enam keluarga sangat daif.

“Pada masa sama, kami bergotong-royong mengecat dan menyiapkan tandas surau yang baru dibina di Kampung Maligu untuk kemudahan penduduk beribadat,” katanya.

Katanya, motosikal menjadi pengangkutan utama penduduk di tiga perkampungan itu, manakala untuk berurusan di pekan Karakit mereka terpaksa menaiki bot kecil.

“Beberapa doktor bertauliah daripada Muslim Care Malaysia Society turut bersama kami, jadi penduduk berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan bacaan gula.

“Penduduk juga menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian percuma yang disediakan doktor bertauliah menyertai misi kali ini,” katanya.

Alisayuni berkata, aspek penjagaan kesihatan penduduk di ketiga-tiga penempatan berkenaan perlu diberikan perhatian dan berikutan itu pihaknya mengesyorkan pembinaan sebuah klinik pada masa akan datang.

“Sehari sebelum misi berakhir, kami sempat menziarahi seorang warga emas berusia lingkungan 90 tahun yang terlantar, lelaki itu mengalami sakit perut yang serius sejak Aidilfitri lalu.

“Dia tidak pernah dibawa ke klinik mahupun hospital kerana tiada kenderaan sesuai untuk menghantarnya bagi mendapatkan rawatan. Agak terkilan apabila kami dimaklumkan warga emas itu meninggal dunia dua hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan antara contoh kesulitan penduduk yang mahu disuarakan kepada wakil rakyat tempatan. – Harian Metro

SUKARELAWAN MCE dan PRiSM United Kingdom menyantuni penduduk Kampung Tambising sempena misi IGNITERS: The PRISM Movement ‘18 di Pulau Banggi, Kudat, Sabah. FOTO NSTP

Loading...
scroll to top