Reman tiga Ahli Politik Disambung

KOTA KINABALU: Perintah tahanan reman tiga ahli politik yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah, disambung tiga hari lagi hingga Selasa ini.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim, direman lima hari sejak Selasa lalu.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara 2009 hingga 2015.

Mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini jam 10 pagi sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 1 dan dilihat keluar pada jam 12.50 tengah hari.

Permohonan bagi menyambung tahanan reman itu dibuat Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin di hadapan Majistret, Mohd Aizat Abdul Rahim.

Jamawi diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri, Mohd Azhier A Farhan Arifin, Jafar Esteben dan Razali Razi, manakala peguam Hamid Ismail mewakili Ariffin.

Mohd Azis pula diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat, Jaikol Situn dan Darell Leiking.

Sementara itu, ahli perniagaan berumur 52 tahun yang sebelum ini disambung reman empat hari sejak Rabu lalu, dibebaskan hari ini dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000, dengan deposit RM100,000.

Ahli perniagaan itu ditahan bersama Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony pada 5 Oktober lalu sebelum kedua-duanya direman lima hari sehingga Selasa lalu.

Peter dibebaskan semalam di Hospital Pakar Damai di sini dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 selepas tempoh lanjutan tahanan reman tiga hari terhadapnya berakhir. – Berita Harian

Loading...
scroll to top