Rompak Bersenjata, Lelaki Dipenjara 10 Tahun

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang melakukan rompakan bersenjata dikenakan penjara sepuluh tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin.

Hakim Noorhafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Aminur Rashid Masli, 27, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh yang bersenjatakan sebilah pisau, merompak pekerja kedai serbaneka Orange, di pusat membeli-belah 1 Borneo, di sini.

Aminur merampas wang tunai sebanyak RM871.40, enam kotak rokok dan tiga botol arak milik kedai terbabit, pada 20 Mei lalu jam 4.44 pagi.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat oleh pengadu yang menyatakan ketika bekerja, beliau dirompak oleh seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau.

Pada 22 Mei tahun ini, bertindak berdasarkan maklumat pihak polis berjaya menangkap tertuduh di Kampung Delima, Manggatal, di sini.

Hasil rakaman video litar tertutup menunjukkan perbuataan tertuduh itu dan dapat dikenal pasti oleh pengadu.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan.

Namun, Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja meminta hukuman berat dikenakan kerana melibatkan kepentingan awam dan menggunakan senjata.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap.

Loading...

Leave a Reply

arrow