Rumah musnah bersepai dilanggar tongkang di Tawau

rumah-musnah-dilanggar-tongkang-di-Tawau.jpg

KEADAAN rumah rosak teruk akibat dilanggar tongkang. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Tiga rumah atas air di Kampung Pukat di Lorong Jambatan Gelama, Tanjung Batu Laut, di sini, ranap bersepai ke laut akibat dirempuh tongkang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, tongkang yang berlabuh berhampiran perkampungan atas air terbabit dipercayai dihanyutkan ombak ketika air pasang, seterusnya merosakkan tiga rumah dengan dua daripadanya ranap sama sekali.

Kebetulan pula kejadian ketika angin kencang dan laut bergelora itu menyebabkan 25 penghuni daripada tiga keluarga hilang tempat tinggal, namun semua menyelamatkan diri, kecuali seorang mangsa dilaporkan cedera ringan selepas terjatuh dari jambatan.

Difahamkan, ketika kejadian tiada pekerja atau kru berada di atas tongkang terbabit.

Mangsa, Rosnina Mohamed, 30, berkata ketika kejadian keadaan angin kuat dengan hujan lebat dan laut bergelora.

Katanya, ketika berada dalam rumah bersama suami, Syarifudin Mohd Tawil, 35, dan empat anak, tiba-tiba mereka terdengar bunyi siren amaran bertalu-talu dari kapal tunda dan kapal lain tidak jauh dari perkampungan itu.

“Kami segera keluar rumah dan melihat kapal tongkang sudah begitu hampir dengan rumah sebelum kami sekeluarga lari menyelamatkan diri.

“Kejadian berlaku dengan pantas, tongkang itu umpama melibas rumah kami hingga bersepai, namun syukur kerana kami anak beranak terselamat, begitu juga bapa dan ahli keluarga lain di rumah sebelah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bapa Rosnina, Mohamed Kasim, 52, yang rumahnya turut ranap dalam kejadian itu berkata, apa yang berlaku mengakibatkan rumah yang didiaminya selama hampir 20 tahun musnah sama sekali.

Katanya, dia yang kematian isteri hampir tiga minggu lalu, sepatutnya merancang untuk mengadakan kenduri tahlil pada malam esok, tetapi terpaksa dibatalkan kerana rumah sudah roboh.

“Apa boleh buat kerana kita hanya mampu merancang, kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan perkampungan atas air ini,” katanya dengan nada sedih namun bersyukur kerana semua 14 ahli keluarganya selamat.

Mohamed berkata, buat masa ini dia sekeluarga menumpang berteduh di rumah jiran sementara sementara menunggu rumah baru dibina semula.

Difahamkan, pemilik ketiga-tiga rumah bersama pemilik kapal tongkang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – Berita Harian Online

Loading...
scroll to top