Sabah kaji keluarkan dokumen khas pekerja asing

Mohd-Shafie-Apdal.jpg

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengkaji mengeluarkan dokumen khas kepada pekerja asing tidak sah di Sabah untuk menyelesaikan isu kekurangan buruh, terutama dalam sektor perladangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata satu jawatankuasa khas dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman akan memperincikan proses mengesahkan pekerja haram sedia ada.

“Kita akan melihat bagaimana dokumen khas boleh dikeluarkan kepada pekerja (haram) di setiap ladang. Mereka kini bekerja di beberapa ladang tanpa dokumen sah dan mematuhi dasar tertentu.

“Oleh itu, kita mahu mereka mempunyai pas kerja, kita tidak boleh berdiam dalam masalah ini tanpa menyelesaikannya, kerana ia sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi kita,” katanya kepada media selepas mesyuarat tertutup dengan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan, di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kekurangan buruh adalah antara isu dibincangkan dan perbincangan lanjut mengenai perkara itu perlu dilakukan secepat mungkin.

Mengikut statistik Jabatan Imigresen, sejumlah 137,676 pas lawatan kerja sementara dikeluarkan kepada pekerja asing di Sabah tahun lalu dengan majoriti dikeluarkan kepada warga Indonesia (123,313) diikuti Filipina (14,283), Nepal (54) dan Myanmar (26).

Pas kerja yang dikeluarkan adalah untuk penanaman ladang, pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.

Mengenai isu individu tanpa kerakyatan, Mohd Shafie memberi jaminan kerajaan negeri sedang menanganinya.

“Ini menjadi masalah untuk tempoh yang sangat lama dan ia satu isu yang rumit. Terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi tetapi saya yakin ada penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, keselamatan negeri secara keseluruhannya terkawal dengan pasukan keselamatan terus mengambil langkah mencegah penculikan dan rompakan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Tidak ada kejadian penculikan baharu dan walaupun ada kes rompakan, keadaan terkawal.

“Kita akan meningkatkan usaha keselamatan terutama dalam memantau sempadan maritim, termasuk mengadakan koordinasi yang lebih baik antara agensi keselamatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top