Sabah Tidak Pernah Gagal Tuntut Hak

SMS NEWS PORTAL

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman

Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah gagal meminta mahupun menuntut apa sahaja hak yang dilihat patut dan terbaik untuk negeri ini, termasuk dalam soal royalti minyak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun, Musa, yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata setiap apa yang diminta oleh kerajaan negeri haruslah berpatutan dan munasabah untuk dipenuhi oleh kerajaan pusat termasuk Petronas.

Justeru, Musa berkata pembangkang di Sabah tidak perlu gusar ataupun gelisah kerana kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan Sabah menikmati sumber hasil buminya.

“Kita mesti bekerjasama (memakmurkan ekonomi Sabah) dan menghormati Persekutuan. Tidak perlu bergaduh, seharusnya (berbincang) dengan cara baik dan profesional dan percaya ‘kita sudah melaksanakan tugas kita’ (untuk meminta dan menuntut hak),” katanya.

Beliau mencelah ketika Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Bingkor) membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Selasa.

Jeffrey antara lain menyentuh industri minyak dan gas termasuk kenaikan kadar tuntutan pembayaran tunai kepada 20 peratus serta menuntut royalti minyak sebanyak 10 peratus.

Beliau berkata, kerajaan negeri seolah-olah “diperbodohkan untuk menidakkan hak” kerana ia dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan hasil ekonomi Sabah.

Musa berkata dakwaan dilemparkan Jeffrey langsung tidak berasas kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersama Petronas sentiasa berbincang dan memastikan hasil industri minyak dan gas dibahagikan berdasarkan situasi menang-menang, termasuk dalam soal tuntutan royalti minyak.

Selain daripada royalti minyak, kata Musa, kerajaan negeri turut mengambil langkah bijak mengenalpasti potensi ekonomi sumber lain yang terdapat dalam industri itu termasuk mengembangkan industri pemprosesan hiliran membabitkan Sabah Ammonia Urea Projek (SAMUR).

Ini kerana, situasi pemprosesan huluan seperti pengeluaran gas asli cecair (LNG) ketika ini tidak begitu menguntungkan, katanya.

“Dengan mempelbagaikan hasil dalam industri ini, kerajaan negeri boleh mendapat keuntungan dan meminta ekuiti yang mana Petronas pada dasarnya bersetuju (memberikan) 25 peratus ekuiti di SAMUR,” katanya.

Melihat senario semasa, Musa berkata kerajaan negeri lebih tertarik terhadap ‘onshore’ dan meminta Petronas mengenal pasti serta menerokai tanah yang terdapat di Sabah memandangkan ‘offshore’ menelan kos perbelanjaan tinggi selain atas faktor jauh.

Di samping itu, ‘marginal oil field’ (medan minyak marginal) di Sandakan yang pada dasarnya telah diluluskan oleh Petronas akan diusahakan bagi memastikan ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Apabila harga minyak kembali pulih, saya berharap kerajaan negeri dapat merealisasikan ‘medan minyak marginal’ dan kita boleh teruskan eksplorasi onshore,” katanya.

— BERNAMA

Loading...
scroll to top