Sebanyak 110 Pokok Tumbang di Sabah sejak Isnin

Pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sebanyak 110 kes pokok tumbang direkodkan dalam tempoh tiga hari hingga petang hari ini, susulan hujan lebat dan angin kencang melanda pantai barat Sabah, sejak Isnin lalu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata kebanyakan kes itu berlaku di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang.

Katanya, daripada jumlah itu, kes pokok tumbang setakat jam 6 petang hari ini, adalah sebanyak 40 kes manakala pada Isnin (34) dan Selasa (30).

“Kejadian pokok tumbang yang membabitkan jalan raya utama dan awam sepanjang tiga hari hingga jam 6 petang ini adalah 72 kes diikuti menghempap rumah awam (23), terkena tiang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebanyak 11 kes dan menghempap kereta (empat).

“Susulan amaran keadaan cuaca buruk peringkat kuning yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada petang Isnin lalu, berlaku hujan lebat dan angin kencang di pantai barat Sabah selama tiga hari berturut-turut hingga hari ini.

“Berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, bomba akan sentiasa bersiap sedia di seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu di Kundasang, hujan berterusan disusuli angin kencang menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh hari ini.

Susulan kejadian itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan Ops Bantu untuk mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan dan menghempap rumah penduduk serta membuang tanah tertimbus di halaman rumah penduduk.

Pegawai APM Kundasang, Leftenan Hasdiee Abdullah, bwrkata pihaknya menerima sebanyak tujuh kes berkaitan pokok tumbang manakala satu kes tanah runtuh di daerah ini.

“APM menerima aduan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan menghempap sebahagian atap rumah penduduk pada jam 2.15 petang dan anggota bergerak serta merta ke lokasi kejadian untuk mengalihkan kayu serta tujuan pembersihan.

“Kita juga menerima aduan berkaitan runtuhan besar tanah tebing yang menimbus halaman rumah penduduk dan sepasukan anggota dikejar ke lokasi untuk membuang tanah yang menimbus halaman,” katanya di sini.,

Hasdiee berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut yang melanda daerah itu.

No posts found matching your query. Please try again by changing post parameters.
Loading...
scroll to top