Semua ADUN di Sabah diminta Bantu KAFA

Semua-ADUN-Sabah-diminta-Bantu-KAFA.jpg

Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)

TAWAU: Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Sabah perlu diperkasa dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa mengira fahaman agama, kata Timbalan Menteri (Agama) Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Menurutnya, bantuan dan perhatian semua Adun bagi Kafa di kawasan masing-masing penting ekoran ianya bukan bersifat kepentingan individu tertentu tetapi melibatkan pendidikan sekolah.

“Saya menyeru kepada semua Adun di Sabah tolong Kafa, kalau perlu proposal minta Kafa buat, Kafa ini penting untuk akar umbi, tak ada sebab tak boleh tolong Kafa sedangkan Adun ada peruntukan boleh diluluskan.

“Tanggungjawab tolong Kafa ini bukan tugas Adun beragama Islam semata-mata tetapi Adun bukan Islam juga perlu bantu Kafa kerana rakyat yang mengundi bukan hanya dari satu agama sahaja” katanya.

Fuziah Salleh

Timbalan Menteri (Agama) Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersana Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bersama Penyelia dan Guru Kafa daerah Tawau di Pejabat Perhubungan Kafa Tawau, kelmarin.

Katanya, konsep padanan geran antara kerajaan negeri dan pusat juga perlu untuk membantu pengoperasian Kafa Sabah yang kini mempunyai 2,173 pengajar dan lebih 42,000 pelajar agar lebih berkesan dan selari dengan negeri lain.

“Guru Kafa di Sabah dapat elaun RM900 dan sama sahaja dengan negeri lain, tak betul kata elaun guru Kafa Sabah kurang, cuma di Selangor, Kerajaan Negeri tambah RM700, Pulau Pinang pun tambah RM50, Sabah sahaja tak ada.

“Sebab itu kita mahu Kerajaan Negeri dan Pusat buat padanan geran ini untuk sama- sama bantu dan berganding bahu memperkasa Kafa di Sabah apatah lagi sekarang kedua-dua kerajaan berada di haluan sama,” katanya lagi.

Dalam masa sama Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata peranan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semua pihak di negeri ini perlu muncul membantu Kafa khususnya syarikat korporat, yayasan, dan swasta.

“Kafa perlu sumbangan sebab saya sedih melihat keadaan Kafa yang ada di Sabah ini, sedangkan Kafa ini punya peranan signifikan dalam pendidikan agama yang memberi kefahamaan mengenai Islam dan al-Quran,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata Kafa di Sabah juga perlu kreatif untuk menambah dana dan tidak boleh mengharapkan bantuan dari kerajaan pusat semata-mata kerana peruntukan yang disalurkan adalah terhad.

“Sebab itu kita pertahankan bajet kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) walaupun ada yang bersuara bajet ini terlalu besar tetapi sebenarnya 50 peratus bajet itu untuk guru-guru Kafa,” katanya.

Dalam hal sama beliau turut meminta kerajaan negeri mengenalpasti lokasi bagi Kafa yang tidak memiliki premis pembelajaran seperti yang dilakukan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menyelesaikan isu sekolah rendah.

“Mungkin boleh bekerjasama dengan masjid, surau atau premis berkaitan untuk tujuan Kafa ini agar tidak ada lagi Kafa ini belajar di bawah pokok,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada guru Kafa berstatus kontrak akan diserap sebagai penjawat awam tetap, Fuziah berkata usaha ke arah itu ada namun guru Kafa perlu melepasi syarat dan kelayakan minima yang ditetapkan. Turut hadir pada majlis itu Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifudin Hata.

Loading...
scroll to top