Seorang lagi Datuk ‘diintai’ SPRM Sabah malam ini

KUALA LUMPUR: Seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk, kini berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana awam RM1.5 bilion bagi projek infrastruktur Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di negeri itu.

Sumber berkata, ahli perniagaan yang memiliki sekurang-kurangnya tujuh syarikat di bawah kawalannya, dikatakan pernah mendapat tender daripada kementerian terbabit di antara 2009-2015.

Katanya, selain tujuh syarikat terbabit, ahli perniagaan itu juga dipercayai pernah ‘meminjam’ lesen syarikat kontraktor lain dengan membayar sehingga RM30,000 bagi tujuan itu.

“Tujuan meminjam lesen itu dibuatnya bagi memenuhi tuntutan syarat kelayakan tender terhad iaitu 10 syarikat bagi satu projek yang dipohon dari kementerian.

“Ketika ini pihak SPRM sedang menyiasat sejauh mana pembabitannya dan tindakan lanjut akan dilakukan selepas maklumat-maklumat itu dikumpul,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan individu tersebut dipanggil untuk diambil keterangan tetapi enggan mengulas lanjut sama ada akan ditahan atau tidak.

Dalam tempoh 2010 hingga 2015, kementerian itu mengeluarkan 350 tender projek berkaitan kerja pembangunan infrastruktur air, elektrik serta jalan raya di seluruh Sabah, membabitkan dana awam lebih RM7.5 bilion.

Bagi kerja bekalan air, dipercayai sebanyak 170 projek ditawarkan dengan kos kira-kira RM2 bilion, manakala 163 projek lagi adalah membabitkan kerja infrastruktur jalan raya dengan kos RM3.2 bilion dan 17 projek bekalan elektrik bernilai RM3.2 bilion.

Daripada jumlah keseluruhan dana awam itu, SPRM menganggarkan RM1.5 sudah diseleweng oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pelaksanaan keseluruhan pembangunan tiga infrastruktur itu, kementerian turut melantik lebih 260 syarikat untuk menjalankan kerja projek terbabit dan sebanyak 64 syarikat berkemungkinan memperoleh projek secara meragukan termasuk memperoleh lebih daripada dua projek.

Loading...
scroll to top