Seorang Maut Myvi Masuk Gaung

KINABATANGAN: Seorang penumpang maut manakala dua lagi termasuk pemandu mengalami cedera apabila kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di Jalan Kota KinabaluLahad Datu berhampiran simpang Beluran awal pagi kelmarin.

Pegawai Penjaga Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan Rantey Fred berkata mangsa dikenali sebagai Jeffrey Lim Kee Wong, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Rosliana Solong, 23, (juga penumpang) mengalami cedera dan pemandu Samsul Salahudin, 43, cedera ringan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.04 pagi.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dengan kekuatan lima anggota diketuai PBK II Asmori dikerahkan ke lokasi seminit kemudian.

“Pasukan bomba tiba pada jam 2.35 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang terbabas ke dalam gaung. Tiga mangsa terlibat terdiri dua lelaki dan seorang perempuan. Seorang mangsa di bahagian pemandu hanya cedera ringan,” katanya.

Rantey berkata dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggotanya di mana seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan seorang mangsa perempuan dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan lanjut.

Katanya operasi terkawal pada jam 3.54 pagi dan ditamatkan pada jam 5.49 pagi.

Tambahnya ketika kejadian kenderaan terbabit dipandu dari arah Beluran ke Batu 32 sebelum terbabas ke dalam gaung di lokasi kejadian.

Loading...

Leave a Reply

arrow