Shafie Apdal direman 4 Hari

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi proses mendapatkan perintah tahanan reman. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, direman empat hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Perintah dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus, susulan permohonan bagi mendapatkan perintah tahanan reman difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan kira-kira RM1.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah, disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara 2009 hingga 2015.

Mahkamah turut membenarkan Mohd Shafie dibawa semula ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah kesihatannya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Semporna itu tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, kira-kira jam 2.30 petang dengan ambulans dari QEH sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret 1 kira-kira sejam kemudian dan keluar pada jam 5.20 petang.

Beliau diwakili peguam Darell Leiking, Loretto J Padua, Martin Tommy, Cedric Choo, Hamid Ismail dan Zakaria Ismail, manakala SPRM oleh Pegawai Pendakwaan, Mohd Faliq Basiruddin.

Mohd Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ditahan SPRM pada jam 9 malam tadi selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Ia membabitkan siasatan berkaitan projek luar bandar di Sabah menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diterajui beliau dari 2009 hingga 2015.

Ketika ditemui pemberita, Leiking yang juga Timbalan Presiden Warisan berkata, awalnya proses mendapatkan perintah tahanan reman dijadual dibuat di QEH selepas mengambil kira nasihat doktor yang merawatnya.

“Bagaimanapun, beliau (Mohd Shafie) meminta proses itu dilakukan di mahkamah kerana tidak mahu penyokong Warisan ramai berkumpul di kawasan hospital hingga mengganggu pesakit.

“Doktor akhirnya membenarkan permintaannya dan dia dibawa ke mahkamah dengan ambulans,” katanya.

Mohd Shafie dibawa SPRM ke QEH lewat malam tadi bagi mendapatkan pemeriksaan doktor kerana masalah tekanan darah tinggi.

Sementara itu, kira-kira 200 penyokong Warisan memakai baju jingga berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak jam 2 petang dan tidak berganjak meskipun hujan lebat.

Antara pemimpin Warisan yang kelihatan ialah Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony dan Junz Wong; Bendahari Agung Warisan, Terence Siambun dan Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.

Isteri Mohd Shafie, Datin Seri Shuryani Shuaib, juga sempat menyalakan lilin kek sempena hari jadi ke-60 Presiden Warisan itu sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret.

Terdahulu, mahkamah sama membenarkan Setiausaha Warisan Putatan berusia 47 yang ditahan SPRM semalam, direman enam hari hingga Rabu depan, berkaitan kes penyelewengan dana awam berkenaan.

No posts found matching your query. Please try again by changing post parameters.

Berita Berkaitan:

Loading...
scroll to top