Shafie Apdal Keluar UMNO Kerana Hasrat jadi TPM

Shafie-Apdal-A-highly-ambitious-politician.jpg

Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini berkata, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar Umno kerana beliau berhasrat menjadi timbalan perdana menteri.

“Bukan saya mahu mengacum, tetapi saya perlu cakap sesuatu. Henti main isu ini. Mari berterus terang. Sebab itu kenapa beliau memilih untuk keluar parti,” katanya merujuk kepada penafian Shafie bahawa beliau telah ‘menikam dari belakang’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memegang jawatan dalam kerajaan.

Musa berkata, selepas tidak berjaya mendapatkan jawatan sebagai bakal Ketua Menteri Sabah, Shafie meninggalkan Umno dan dengan menjalin kerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri.

Beliau berkata Muhyiddin telah dipecat pada Jun 2016, bersama-sama dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selepas selama setahun terbabit dalam perebutan kuasa dengan kepimpinan Umno yang berakhir dengan kegagalan.

Shafie, terlebih dahulu telah membuat perjanjian dengan Muhyiddin dan Mukhriz sebelum beliau keluar parti pada bulan berikutnya, katanya.

“Mendakwa bahawa beliau (Shafie) lebih mementingkan ‘masa depan negara’ berbanding persahabatannya dengan Najib adalah satu jenaka,” katanya.

Musa berkata, Najib telah berbuat banyak untuk Shafie, membantunya menjadi naib presiden Umno dan memberikannya portfolio penting di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan harapan beliau akan membantu Sabah.

“Saya setuju, tanpa sokongan Najib, Shafie tidak akan mendapat peluang luar biasa yang diberikan kepadanya,” katanya.

Katanya, Shafie sepatutnya mengamalkan sedikit kematangan dalam berpolitik, daripada mengatakan bahawa beliau (Musa) tidak selesa dengan kedudukannya (Shafie) sebagai naib presiden Umno.

“Jika saya rasa tidak selesa, saya sendiri akan bertanding untuk jawatan itu. Bukan sahaja saya tidak bertanding bagi jawatan naib presiden, saya juga tidak bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi. Saya tidak berbuat demikian kerana komitmen saya sebagai ketua menteri,” katanya. – Bernama

Loading...
scroll to top