SPRM Siasat Pegawai Sebuah Kementerian Songlap 100 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sebuah kes korupsi mencecah RM100 juta melibatkan kementerian kerajaan dan sekurang-kurangnya 10 buah syarikat swasta.

Siasatan yang bermula sejak setahun lalu melibatkan dakwaan wujudnya ketirisan dan kecurian dana kerajaan untuk pelbagai projek kerajaan tetapi hanya kini mula membuahkan hasil susulan pergerakan sejumlah wang yang banyak ke dalam akaun salah seorang suspek dikesan sistem pengesan Laporan Traksaski Mencurigakan Bank Negara Malaysia, lapor New Straits Times.

Satu sumber yang mengetahui siasatan oleh SPRM memberitahu akhbar itu bahawa skop, kedalaman dan keseriusan kes itu akan melebihi pelbagai kes korupsi utama yang melanda negara selama ini.

“Kita bercakap tentang jumlah besar ketirisan dana kerajaan,” kata sumber itu.

Sekumpulan pegawai atasan kementerian didakwa bekerjasama dengan syarikat swasta itu untuk mengisytiharkan di atas kertas bahawa projek yang sepatutnya dilaksanakan sudah disempurnakan sedangkan hakikatnya tidak ada yang dilakukan.

Menurut sumber, individu-individu terlibat dengan mudah memperolehi hampir RM100 juta.

“Ini melibatkan berpuluh projek dan inisiatif yang sepatutnya dilaksanakan untuk membantu orang miskin termasuklah yang berkos antara RM500 juta sehingga RM1 bilion,” menurut laporan itu.

Antara inisiatif yang didakwa dirompak peruntukannya adalah Program Makanan Pelajar Miskin yang merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan.

Penyiasat SPRM sudah mengenalpasti sekurang-sekurangnya lima pegawai kementerian yang bersengkokol dengan syarikat itu untuk menggelapkan wang negara.

“Mereka sudah melakukannya sejak beberapa tahun dan mencuri dana pelbagai projek yang tak pernah dilaksanakan.

“Ada juga projek yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi.

“Pemotongan bajet dilakukan besar-besaran.”

“Kes ini bukan hanya melibatkan mencuri dana yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan infrastruktur.

“Malah program makanan pelajar miskin pun tak terlepas,” kata sumber itu lagi.

Dipercayai yang SPRM sudah mengenal pasti sehingga 10 syarikat yang berpakat dengan pegawai-pegawai itu.

“Jumlah (mereka yang terlibat) kemungkinan besar akan meningkat apabila siasatan semakin lama dijalankan.

Kes itu dipercayai disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – Malaysian Insight

Loading...

Leave a Reply

arrow