Tapak penempatan baharu untuk mangsa kebakaran akan dikenal pasti

Tapak-penempatan-baharu-untuk-mangsa-kebakaran-akan-dikenal-pasti.jpg

Selasa lalu, dianggarkan 150 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang melibatkan 672 mangsa daripada 132 keluarga menyebabkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan tapak tanah baharu bagi menempatkan semula mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Cenderamata Dua, Likas pada Selasa lalu untuk membina rumah secara sah.

ADUN Karambunai, Azhar Matussin

ADUN Karambunai, Azhar Matussin

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Azhar Matussin berkata kerajaan negeri tidak akan membenarkan kawasan yang terbakar itu dibina semula sebarang struktur untuk membina rumah kerana ia bukan penempatan yang sah.

“Untuk jangka panjang, kerajaan merancang untuk menyediakan kawasan tapak rumah yang membolehkan mereka (mangsa) membuat rumah secara sah tetapi buat sementara waktu mangsa di tempatkan di Dewan Serbaguna Likas dan sebahagian lagi ditempatkan di Dewan Kampung Cenderakasih di Metro Town.”

“Keutamaan kita adalah untuk menyelesaikan masalah setinggan dan penempatan penduduk seperti yang terkandung dalam manifesto pilihanraya umum ke-14 pada Mei lalu,” katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan daripada Warisan Harta Sabah (WHS) Sdn Bhd untuk mangsa kebakaran di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Pembantu Menteri Kementerian Perdagangan dan Perindustrian itu berkata kejadian kebakaran di kawasan itu bukan kali pertama berlaku dan yakin masalah penempatan setinggan di kawasan berkenaan akan dapat diselesaikan.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat yang baharu di kawasan itu ia merupakan cabaran buat dirinya dan berharap musibah itu tidak akan berlaku di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan oleh semua pihak yang prihatin terhadap mangsa kebakaran dengan menghulurkan bantuan seperti keperluan asas, makanan, tilam dan bantal.

“Kita lebih mengalu-alukan bantuan dalam bentuk kewangan kerana ada keperluan yang kadang kala kita terlepas pandang seperti peralatan sekolah anak-anak yang terlibat, keperluan bayi dan paling penting tuala wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah Sdn Bhd Mohamad Nor Tahir berkata sumbangan berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kepada mereka yang memerlukan bantuan khususnya yang melibatkan bencana.

Beliau berkata sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bantuan itu adalah sebahagian daripada peruntukan yang telah disediakan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“WHS sebelum ini juga turut menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Inanam, Penampang dan di Kampung Tanjung Batu, Sandakan. Pihak kami amat berbesar hati dapat menghulur bantuan melalui peruntukan yang diberikan,” katanya.

Selasa lalu, dianggarkan 150 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang melibatkan 672 mangsa daripada 132 keluarga menyebabkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.  — BERNAMA

Loading...
scroll to top