Teks Ucapan YAB KM Sempena sempena Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah

TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH

MAJLIS ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG-BINTANG DAN PINGAT-PINGAT NEGERI SABAH
SEMPENA HARI JADI RASMI KE-64 TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH,
PADA 07 OKTOBER 2017, PUKUL 10.25 PAGI, DI ISTANA NEGERI, KOTA KINABALU.

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dengan rahmat Allah SWT dan berkat naungan Tuan Yang Terutama Tun sebagai lambang perpaduan, rakyat berbilang suku kaum, agama dan budaya di negeri ini, terus hidup bersatu padu, bermuafakat dan bekerjasama dalam suasana yang penuh harmoni dan muhibah. Kita juga bersyukur kerana selama ini rakyat dan negeri Sabah terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang pesat di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.
  2. Semua ini dapat kita kecapi dengan adanya sebuah kerajaan yang kukuh dan dapat mewujudkan kestabilan politik, yang membolehkan kita merancang dan melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan untuk memajukan ekonomi negeri dan menjamin kemakmuran sosial rakyat.
  3. Sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus kita perhebatkan. Dalam konteks ini, sukacita saya memaklumkan bahawa pelaksanaan projek-projek pembangunan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), berjalan dengan lancar. Dalam tahun pertama pelaksanaannya iaitu pada tahun 2016, sebanyak 81 peratus atau RM646.874 juta daripada jumlah peruntukan pembangunan biayaan Kerajaan Negeri telah pun dibelanjakan.
  4. Pada tahun kedua pelaksanaan RMK11, peruntukan pembangunan biayaan Kerajaan Persekutuan telah bertambah sebanyak 12.6 peratus kepada RM4.277 bilion berbanding tahun 2016. Sehingga 25 September 2017, jumlah projek yang telah diluluskan ialah sebanyak 647, iaitu 304 projek sambungan dan 343 projek baharu. Antaranya melibatkan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, bekalan air dan elektrik luar bandar, jalan-jalan perhubungan desa, program perumahan rakyat, membina dan menaik taraf jalan termasuk tiga persimpangan bertingkat di Kota Kinabalu, meningkatkan infrastruktur sektor perhubungan, pendidikan dan keselamatan.
  5. Mengenai pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), setakat 30 Jun 2017, RM2.5 bilion telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, Kesepuluh, dan Kesebelas. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 bilion, atau 93.6 peratus telah disalurkan oleh SEDIA. Sementara itu, sejak pelancaran SDC pada tahun 2008 sehingga suku kedua 2017, sejumlah RM163 bilion dalam pelaburan kumulatif telah direkodkan.
  6. Sektor-sektor di bawah Halatuju Negeri terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan prospek ekonomi yang positif, didorong oleh sektor-sektor utama. Antaranya sektor pelancongan yang terus kukuh dengan mencatatkan ketibaan seramai 2.109 juta pelancong dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Ia adalah peningkatan dua angka iaitu sebanyak 10 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016.
  7. Negeri Sabah kekal menjadi destinasi pelancongan paling popular dalam kalangan pelancong asing dan domestik. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah menjalankan pelbagai usaha agresif untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor perhotelan termasuklah pembinaan hotel-hotel yang bertaraf lima bintang. Sebagai tambahan, projek-projek ikonik baharu yang akan dilaksanakan seperti projek Sabah International Convention Centre (SICC), Tanjung Aru Eco Development (TAED), Jesselton Quay dan Kota Kinabalu Convention City pastinya akan menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke negeri ini. Kerajaan juga sedang giat meneroka destinasi pelancongan yang berpotensi tinggi di setiap daerah di negeri ini.
  8. Di samping itu, sektor pembuatan juga telah menunjukkan momentum pertumbuhan yang amat menggalakkan. Ini dibuktikan menerusi peningkatan jumlah eksport bagi barang keluaran kilang pada separuh penggal pertama tahun ini yang berjumlah RM1.194 bilion. Ia meningkat sebanyak 13 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
  9. Pada masa yang sama, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) akan terus menarik lebih ramai kemasukan pelabur dengan pembangunan Digital Free Trade Zone. Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan ‘Shared Services and Outsourcing Centre (SSO)’ untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk di pasaran tempatan dan antarabangsa.
  10. Peningkatan harga minyak sawit mentah telah mengukuhkan lagi prestasi sektor pertanian. Pada penggal pertama tahun 2017, pengeluaran minyak sawit mentah telah direkodkan meningkat sebanyak 11.3 peratus manakala jumlah nilai eksport minyak sawit mentah mencecah RM6.9 bilion, meningkat sebanyak 23.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
  11. Sebagai langkah ke hadapan, pelaksanaan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (2017-2027) akan terus memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negeri, bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat khususnya di luar bandar. Usaha pemodenan sektor pertanian akan diperhebatkan untuk memastikan sektor ini kekal berdaya saing dan mampan. Di samping itu, dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan generasi muda secara komersial dalam sektor pertanian, Program Pembangunan Agropreneur Muda akan diperkasa dengan sokongan padu daripada Agro Bank dan TEKUN Nasional melalui Skim Pinjaman Khas (pinjaman mudah).
  12. Kesinambungan pembangunan yang holistik dan bersepadu di kawasan luar bandar amat penting agar masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemajuan. Justeru, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk peningkatan sosio ekonomi, penyediaan infrastruktur asas dan fizikal yang kondusif serta pembangunan modal insan.
  13. Dalam konteks ini, Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) akan terus ditambahbaik. Ia bagi membantu peserta keluar daripada garis kemiskinan dan meningkatkan pendapatan selain penempatan yang selesa serta kemudahan infrastruktur yang lengkap. Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di luar bandar, program seperti Ladang PPRT dan Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES) akan diteruskan pelaksanaannya.
  14. Pembangunan pengetahuan, kemahiran serta meningkatkan budaya kerja yang kreatif, inovatif dan progresif melalui aktiviti keusahawanan juga turut dipergiatkan. Antaranya melaksanakan program-program Pembangunan Usahawan Desa, Satu Daerah Satu Produk, Promosi dan Jualan serta Latihan Keusahawanan dan Program Pelancongan Desa.
  15. Sebagai pemimpin negeri, saya percaya rakyat bijak untuk menilai bukti, rekod dan fakta pencapaian kita selama ini. Antaranya kejayaan usaha kita untuk membasmi kemiskinan ialah dengan penurunan kadar kemiskinan daripada 8.1 peratus pada tahun 2012 kepada 4.0 pada tahun 2014. Untuk rekod, kita juga telah berjaya membentangkan Bajet Negeri berbentuk bajet lebihan (surplus budget) dalam tiga tahun berturut-turut yang membuktikan keupayaan dan komitmen kita demi memenuhi keperluan rakyat dalam semua sektor.
  16. Sebagai kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat semua kaum dan agama, kita telah memberikan bantuan secara tahunan termasuklah kepada sekolah-sekolah persendirian dan badan-badan keagamaan bukan Islam. Peningkatan jumlah bantuan tahunan ini daripada RM7.085 juta pada tahun 2004 kepada 31.440 juta pada tahun 2017, jelas membuktikan keikhlasan dan komitmen berterusan kita dalam memenuhi keperluan rakyat dan menjamin perpaduan serta keharmonian beragama yang menjadi amalan kita di Sabah selama ini.
  17. Kerajaan negeri juga telah melaksanakan dasar konservasi yang mendapat pengiktirafan dan pujian badan-badan antarabangsa, demi memelihara kelestarian alam semulajadi, melindungi flora dan fauna serta khazanah hutan semulajadi kita yang bertaraf dunia. Semua ini bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancongan, bahkan satu khazanah yang paling berharga untuk generasi kita yang akan datang.
  18. Sesungguhnya, kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab bukan sahaja memikirkan dan merancang, malah yang lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat. Dalam konteks ini, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri dan pegawai kerajaan sentiasa turun padang ke seluruh negeri. Kita bukan sahaja mendengar taklimat tetapi dapat melihat sendiri perkembangan pembangunan setempat dan memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi. Inilah cara dan pendekatan serta budaya kerja kita dalam kerajaan Barisan Nasional negeri Sabah.
  19. Kejayaan pelaksanaan program dan agenda pembangunan, banyak bergantung kepada peranan dan sumbangan anggota perkhidmatan awam selaku agen pelaksana. Sehubungan itu, jabatan dan agensi kerajaan perlu terus menunjukan kecemerlangan dan prestasi yang terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan untuk memacu kemajuan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
  20. Sesungguhnya, kita berasa bangga kerana terdapat peningkatan yang ketara dari segi bilangan penerima, Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara, pada setiap tahun termasuklah pada tahun 2015 dan 2016. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah, kerana 22 daripada 31 kementerian, jabatan dan agensi Negeri Sabah yang telah diaudit pada tahun lalu, telah menerima penarafan tertinggi lima bintang, iaitu negeri yang paling banyak mendapat penarafan, ini berbanding negeri-negeri lain di negara kita.
  21. Sesungguhnya, pencapaian ini memberikan petunjuk yang baik dan membawa imej yang positif kepada Negeri Sabah, khususnya dalam sektor awam. Ia juga jelas membuktikan bahawa selama ini kita berjaya menguruskan hasil-hasil negeri dengan baik, cekap dan teratur, sekaligus menolak tanggapan negatif dan tuduhan tidak berasas pihak-pihak tertentu, yang sering mempertikaikan kecekapan pengurusan kewangan kita.
  22. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita juga mengakui bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam aspek-aspek tertentu yang perlu diteliti dan diperbaiki. Ini untuk memastikan agar kesilapan atau kelemahan jabatan dan agensi berkenaan dapat diatasi dan tidak lagi berulang pada masa-masa akan datang, seperti mana yang diharapkan oleh Kerajaan dan rakyat.
  23. Dalam konteks ini, tentunya kita memerlukan satu pasukan penjawat awam yang memiliki nilai-nilai integriti, akauntabiliti, komitmen dan dedikasi yang tinggi. Saya yakin, pencapaian dan kejayaan ini akan dapat ditingkatkan lagi agar rakyat terus meyakini kesungguhan dan keikhlasan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan pembelaan yang sewajarnya demi kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
  24. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Y.A.B. Perdana Menteri atas komitmen tinggi dan keprihatinan berterusan yang diberikan kepada rakyat dan Negeri Sabah. Ini termasuklah dalam aspek pembangunan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan Negeri bersama-sama pemimpin di semua peringkat, sektor awam dan swasta serta seluruh lapisan rakyat akan terus berganding bahu bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan negeri Sabah bertambah maju, aman dan makmur di bawah Persekutuan Malaysia.
  25. Bersempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Tun, saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat untuk terus bersatu padu, berganding bahu, bermuafakat dan bekerjasama bagi mengekalkan keharmonian, kemajuan, keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini.

Sekian.

scroll to top