Tetak bapa sendiri selepas ditegur

Tetak-bapa-sendiri-selepas-ditegur.jpg

Keadaan leher mangsa yang berlumuran darah selepas ditetak dengan pisau pemotong daging oleh anaknya di rumah mereka di Taman Telipok Ria, Tuaran.

TUARAN: Seorang lelaki parah akibat ditetak di bahagian leher dengan pisau pemotong daging, dipercayai oleh anak lelakinya hanya kerana mangsa menegur supaya suspek keluar untuk mencari kerja.

Dalam kejadian di sebuah unit pangsapuri di Taman Telipok Ria di sini, jam 7 pagi kelmarin, mangsa berusia 54 terpaksa menerima 14 jahitan di kiri dan empat jahitan di sebelah kanan lehernya dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1).

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan anak lelakinya berusia 19 tahun selepas mangsa menegur supaya anaknya itu keluar rumah untuk mencari pekerjaan.

Selepas pertengkaran itu, anak mangsa bertindak agresif apabila menetak leher mangsa menggunakan pisau pemotong daging sebelum dikejarkan ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Mangsa kemudian dipindahkan ke HQE 1 untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata selepas menerima laporan pada hari sama, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menahan suspek di lokasi kejadian.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging. Suspek warga Filipina bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tuaran untuk tindakan lanjut.

“Ujian awal air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – Berita Harian

Loading...
scroll to top