Tiga Pemancing Hilang Ditemukan Bot Pelancong

Tiga-Pemancing-Hilang-Ditemukan-Bot-Pelancong.jpg

KOTA KINABALU: Tiga pemancing yang dilaporkan hilang selepas gagal dikesan semasa memancing berhampiran Pulau Mengalum sejak Khamis lalu berjaya ditemukan dalam keadaan selamat awal pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Zubil Mat Som berkata ketiga-tiga mangsa Mohd Wapie Said, 34; Amsiran Mijan, 55; dan Malik Awang, 40; disahkan selamat oleh ahli keluarganya kira-kira jam 1.07 pagi kelmarin.

“Siasatan awal berdasarkan kenyataan salah seorang mangsa iaitu Wapie mengatakan mereka ditemukan oleh bot pelancong pada jam 9 malam Jumaat lalu di kawasan berhampiran Pulau Tiga.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke rumah saudara mereka di Pulau Gaya untuk berehat sebelum balik ke Kota Kinabalu pada jam 11.59 malam kemudian,” katanya.

Zubil berkata keluarga mangsa kemudiannya menghubungi pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan mangsa berada dalam keadaan selamat sebaik ditemukan.

“Sebaik dimaklumkan penemuan berkenaan, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan jam 1.15 pagi pada 15 April lalu dan mangsa juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Gaya,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pasukan SAR termasuk Bot Pengawal 20, Pasukan Gerakan Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bot pelancong dan bot penduduk.

Ketiga-tiga mangsa dilaporkan hilang selepas meninggalkan jeti Kampung Likas untuk memancing di Pulau Sepanggar, Pulau Gaya dan Pulau Mengalum kira-kira jam 7 pagi Khamis lalu.

Mangsa yang sepatutnya dijadualkan balik kira-kira jam 9 malam hari sama gagal dihubungi dan tidak balik ke rumah menyebabkan ahli keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum memaklumkan kepada Pusat Operasi (Pusop) APMM Kota Kinabalu.

Gerakan SAR diaktifkan jam 10 pagi membabitkan sektor pencarian seluas 672 batu nautika persegi di perairan Sabah.

Loading...
scroll to top