Timbalan Pengarah Antara Direman

KOTA KINABALU — Empat individu termasuk seorang timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek infrastruktur pengangkutan di Sabah.

Dua individu terbabit ialah penolong jurutera di jabatan kerajaan berkenaan manakala seorang lagi adalah pengarah sebuah syarikat yang melaksanakan projek infrastruktur itu dan kesemua mereka berumur antara 37 dan 58 tahun.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Balitus selepas mendengar permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Faliq Basirudin di sini, hari ini.

Keempat-empat individu berkenaan ditahan SPRM antara 12.05 tengah hari semalam dan 11.20 malam tadi.

Berikutan penahanan itu, SPRM turut menyita kenderaan dan sejumlah wang tunai di kediaman keempat-empat mereka selain membekukan beberapa akaun.

Mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, difahamkan ketiga-ketiga pegawai di jabatan kerajaan berkenaan itu disyaki telah menerima suapan lebih RM3 juta daripada kontraktor projek infrastruktur pengangkutan itu sejak tahun 2011 hingga ke hari ini.

Menurut sumber, jabatan berkenaan telah menganugerahkan projek-projek penyelenggaraan dan kecemasan kepada kira-kira 27 syarikat sejak tahun 2011.

Namun menurut sumber itu, projek berkenaan dilaksanakan oleh satu syarikat kontraktor sahaja dengan meminjam lesen syarikat-syarikat lain dan setiap syarikat yang meminjamkan lesen menerima komisen antara 5 hingga 10 peratus daripada nilai sebenar setiap projek.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi ketika dihubungi berkata pihaknya kini dalam proses merakam percakapan saksi-saksi bagi membantu siasatan.

Loading...

Leave a Reply

arrow