Tracie Sinidol ‘Dilamar’ jadi Model

Gambar-tracie-sinidol.jpg

Tracie Sinidol jadi perhatian Netizen

RAMALAN Portal Suara Masyarakat Sabah kira-kira enam hari lepas dalam artikel Sumandak Sabah jadi Perhatian Netizen  nampaknya kini telah menjadi kenyataan.

Memetik artikel terbaharu dari Harian Metro hari ini, Tracie Sinidol dikhabarkan telah mendapat tawaran dari beberapa syarikat produksi untuk menjadi model.

HANYA dalam tempoh beberapa hari, remaja dari Keningau, Sabah menjadi popular selepas beberapa keping gambarnya yang mirip artis di dalam dan luar negara, tular di laman sosial sejak seminggu lalu.

Tracie Sinidol, 16, bukan sahaja menjadi tumpuan di laman sosial malah sudah mula ‘dilamar’ oleh beberapa syarikat produksi yang memberi tawaran untuk menjadi model.

Bukan itu saja, Tracie turut menjadi perhatian ketika keluar bersiar-siar apabila orang ramai ingin bergambar dengannya kerana mempunyai paras rupa jelita dan mirip selebriti terkenal seperti Mira Filzah, Diana Daniele serta model China, Angela Baby.

Tracie bagaimanapun mengakui terkejut apabila beberapa keping gambarnya yang dimuat naik oleh satu halaman kumpulan laman sosial menerima ribuan perkongsian dan tular di seluruh negara.

Tracie yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau berkata, dia menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh rakannya Khamis minggu lalu.

Wajah Tracie Sinidol dikatakan iras-iras seperti wajah Mira Filzah

“Sebelum ini tidak ada sesiapa yang mengaitkan wajah saya dengan mana-mana artis sehingga gambar saya menjadi tular dan dikatakan mirip dengan Mira Filzah.

“Rasa bangga itu memang ada kerana dianugerahkan paras rupa yang sempurna namun saya tidak boleh meninggi diri kerana saya juga manusia sama seperti orang lain yang mempunyai kelebihan masing-masing,” kata anak kelima daripada sembilan beradik itu.

Menurut Tracie, dia masih dalam proses mempertimbangkan tawaran untuk menjadi model kerana belum bersedia serta mahu menumpukan sepenuhnya pada pelajaran.

Katanya, banyak cabaran yang perlu ditempuhi apabila menceburi bidang peragaan dan khuatir tidak dapat membahagikan masa dengan pelajaran.

“Belum sempat saya terima tawaran model atau berlakon, sudah ada beberapa pihak yang mewujudkan akaun laman sosial palsu dengan menggunakan identiti serta gambar saya.

“Biarpun akaun palsu itu menerima lebih 13,000 pengikut, saya rasa kecewa kerana itu bukan diri saya sebenar dan khuatir maklumat yang disampaikan akan mengancam saya,” katanya.

Menurut anak pasangan Sinidol Stimin dan Veronica Tajin itu, fenomena gambarnya menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

Loading...
scroll to top