Tuaran diisytihar kawasan wabak penyakit selesema burung

Tuaran-diisytihar-kawasan-wabak-penyakit-selesema-burung.jpg

Jabatan veterinar akan memastikan tidak ada unggas dibawa keluar dari kawasan wabak yang dikenal pasti

KOTA KINABALU, 3 Ogos 2018 :  Kerajaan negeri Sabah hari ini mengisytiharkan Tuaran sebagai kawasan wabak penyakit selesema burung.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong berkata ini susulan pemantauan berterusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar ke atas beberapa ladang dan sampel yang diuji Selasa lepas yang mendapati sebuah ladang di daerah itu merekodkan keputusan positif bagi selesema burung.

“Sebagai langkah membendung wabak ini daripada merebak ke daerah lain, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan melaksanakan pelupusan semua unggas yang terdapat di kawasan sekitar satu kilometer radius dari lokasi penyakit dikesan.

“Jarak untuk pelupusan unggas ini akan diperluas sehingga lima kilometer radius sekiranya hasil survelan mendapati sampel positif di luar kawasan satu kilometer tersebut. Kita akan memastikan tidak ada unggas dibawa keluar dari kawasan wabak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Junz Wong

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong

Wong juga memohon penternak unggas di Sabah agar memaklumkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah sekiranya terdapat kematian ayam melebihi tiga peratus pada satu-satu masa di kawasan masing-masing.

Pada masa sama beliau meminta orang ramai tidak risau mengenai wabak tersebut memandangkan kawasan berkenaan akan dikawal sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

“Daging ayam dan telur yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan disebabkan telah melalui pemeriksaan yang ketat sebelum dipasarkan. Memasak dengan sempurna adalah perlu oleh kerana virus amat mudah dimusnahkan dengan haba,” katanya.– BERNAMA

Loading...
scroll to top