Warga tempatan mencuri di surau dipenjara setahun

Warga-tempatan-mencuri-di-surau-dipenjara-setahun.jpg

Warga tempatan mencuri di surau dipenjara setahun

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga tempatan yang mencuri di dalam surau kompleks membeli-belah dikenakan penjara setahun, oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syahmi Saripuddin, 27, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh mencuri jam tangan dan sebuah telefon bimbit milik seorang lelaki, pada 11 April tahun ini jam 6.45 petang, di surau kompleks Imago, di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, selesai pengadu menunaikan solat beliau mendapati barang-barang miliknya hilang dicuri.

Hasil rakaman video litar tertutup menunjukkan, tertuduh mengambil barangan terbabit.

Semasa rayuan, Mohd Syahmi yang mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan awam menyatakan, melakukan kesalahan itu kerana desakan hidup.

“Saya tiada sumber pendapatan yang tetap lagipun saya berjauhan dengan keluarga,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Jessica menyatakan walaupun keadaan desakan hidup adalah tinggi, tetapi melakukan jenayah seperti mencuri tetap menyalahi undang-undang.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap.

[pro-facebook-feed]

Loading...
scroll to top