Warisan catat langkah luar biasa

Warisan-catat-langkah-luar-biasa.jpg

SHAFIE semasa sidang media

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri baharu yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) mencatat beberapa langkah serta usaha luar biasa genap 100 hari pemerintahannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, banyak tindakan dan keputusan kukuh sudah diambil berdasarkan 13 teras manifesto Warisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Antaranya, memperkasakan autonomi Sabah dengan mewujudkan kementerian dalam bidang pelajaran dan kesihatan, tuntutan royalti minyak 20 peratus, penjimatan perbelanjaan kewangan kerajaan, reformasi badan-badan GLC, pemansuhan geran komunal serta memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kita sedar, tidak semua apa yang kita nyatakan dalam manifesto itu dapat direalisasikan dalam jangka masa pendek tetapi saya yakin kerjasama semua pihak termasuk perkhidmatan awam, swasta yang dapat bekerjasama dengan baik malahan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat turut membantu membangunkan negeri.

“Saya juga yakin Sabah akan boleh, bukan hanya dimaju dan dibangunkan, tetapi dapat memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.

“Kita berharap kerjasama semua pihak dapat direalisasikan dan berdoa agar sepanjang pengurusan serta pentadbiran kerajaan baharu, akan ada pedoman dan petunjuk ke arah jalan yang ada keredhaan Tuhan supaya dapat membantu masyarakat Sabah,” jelas beliau.

Tambahnya, dalam usaha untuk melahirkan negeri yang membangun, tiada mempunyai erti sekiranya rakyat tidak bersatu padu.

Shafie turut memaklumkan perancangan kerajaan negeri untuk membina sebuah pusat kebudayaan bagi kegunaan semua kaum dan akan dilaksanakan sebaik mungkin jika kewangan mengizinkan.

“Kita harus menyatupadukan rakyat Sabah yang berbagai etnik, kaum dan agama dengan membuat satu pendekatan pembaharuan supaya rakyat yang pelbagai anutan agama di peringkat negeri akan dijaga dengan baik.

“Ini adalah antara langkah yang dilakukan dalam masa-masa akan datang untuk memastikan supaya perpaduan rakyat kukuh, keselamatan dan pembangunan ekonomi dapat dijayakan,” ujarnya pada Sidang Media 100 Hari Pertama Kerajaan Negeri Sabah Diterajui Warisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pagi tadi (Selasa). – Utusan Borneo

Loading...
scroll to top