Warisan tak makan ‘jek’ Pemimpin LDP

Warisan-tak-makan-jek-Pemimpin-LDP.jpg

Martin (kanan) berkata Parti Warisan Sabah tidak cenderung untuk menerima Parti Liberal Demokratik (LDP) ke dalam gabungan pemerintah

LDP tak dialu-alukan masuk gabungan pemerintah, kata Warisan

Parti Warisan Sabah tidak cenderung untuk menerima Parti Liberal Demokratik (LDP) ke dalam gabungan pemerintah kerana parti itu sekarang ini satu liabiliti.

Ahli Majlis Tertinggi Martin Tommy berkata LDP dari segi politik tidak bermanfaat kepada gabungan itu selepas tewas di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum lepas.

Tommy mengulas kenyataan pemangku presiden LDP, Datuk Chin Su Phin baru-baru ini selepas dia cuba meredakan para pemimpin Warisan dengan niat menyertai kerajaan pimpinan parti itu.

“Chin seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai. Kita nampak dia mengecil-ngecilkan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman sebelum ini. Tetapi selepas dia dapat apa yang dia mahu, dia sokong Musa dan kerajaan negeri yang dipimpin Umno,” katanya.

Tommy berkata Chin pada satu ketika rapat dengan kepimpinan tertinggi Warisan di era Barisan Nasional tetapi kemudian meninggalkan mereka.

“Dia juga berkempen menentang Warisan pada pilihan raya umum lepas. Dalam 6 tahunnya sebagai senator, kita tidak tahu apa sumbangannya kepada negeri,” katanya.

Chin dijadikan senator pada 2011 dan tempohnya tamat tahun lepas. Dia mengambil alih kepimpinan LDP selepas bekas menteri Datuk Teo Chee Kang meletak jawatan presiden awal bulan ini.

LDP juga dilihat terlalu cepat meninggalkan BN selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas apabila gabungan itu hilang kuasa.

“Ini menikam belakang kawan lama. Suka atau tidak, LDP ialah rakan gabungan BN selama 26 tahun sejak 1992. Sebaik sahaja BN tumbang, mereka tinggalkan gabungan itu. Itulah nilai kesetiaan dan kebolehpercayaan mereka,” kata Tommy.

Oleh itu, LDP sudah hilang arah dan Warisan tidak perlu melayan pimpinan parti sekarang, katanya.

“Mereka tidak sedar rakyat selama ini mahukan perubahan. LDP sekarang cuba mencari jalan keluar yang mudah apabila mahu bersekutu dengan Warisan tetapi ada motif tersembunyi iaitu melindungi kepentingan politik sendiri. Warisan tidak akan beri ruang kepada mereka,” katanya.

Loading...
scroll to top