Wujudkan Akademi Bolasepak, Usaha Lahirkan Pelapis -Rosnah

SMS NEWS PORTAL

Rosnah menyampaikan piala Naib Juara kepada Pasukan Bekas Pemain Sabah yang diketuai oleh Julius Ating

KOTA KINABALU: Akademi Bola Sepak perlu diwujudkan di setiap daerah di negeri ini sebagai salah satu usaha untuk  memperkasakan mutu serta pencapaian dalam bidang sukan  bolasepak khususnya bagi menyediakan pemain pelapis pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ianya boleh dilaksanakan di sekolah sekolah yang mempunyai kemudahan asas seperti asrama dan padang bola selain program program yang dilakukan oleh persatuan sukan bola sepak atau SAFA di peringkat daerah.

Katanya persatuan-persatuan sukan bola sepak khususnya SAFA boleh memainkan peranan ini sebagai satu strategi jangka panjang yang bukan sahaja matlamatnya untuk meningkatkan kemahiran pemain dalam sukan bola sepak tapi sebagai satu usaha mencungkil bakat bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat bahagian, negeri dan nasional.

“Persatuan-Persatuan Bola Sepak dengan sokongan serta kerjasama SAFA disemua daerah perlu proaktif mengadakan kejohanan bola sepak ,latihan, klinik bola sepak serta program-program yang lain, agar sukan bola sepak boleh berkembang maju disamping dapat menampilkan bakat baru sebagai pemain pelapis yang akan mengambil alih peranan pemain lama apabila mereka bersara ” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Bekas Pemain Bola Sepak Sabah bertemu Bekas Pemain Bola Sepak Selangor bagi merebut piala sumbangan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Titingan anjuran Kelab Bola Sepak Victoria Labuan di Kompleks Sukan Likas pada malam Isnin lepas.

Hadir sama YAM Tengku Shakirinal Amin Shah Tengku Sulaiman, Jurulatih Kebangsaan Harimau A Dato Ong Kim Swee, Presiden Kelab Bola Sepak Victoria Labuan yang juga Pengerusi Penganjur Suresh Muniandy , Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kota Belud Haji Fadli Juanas dan Pengurus Pasukan Bekas Pemain Sabah Datuk Jahid Jahim.

Mengenai kejohanan tersebut Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, sesuai dengan slogan 1 Malaysia kejohanan tersebut diharapkan dapat mengerakkan hubungan silatulrahim antara bekas pemain Sabah dan Selangor.

Disamping itu katanya, Kejohanan ini juga mampu memberikan contoh teladan pemain-pemain muda untuk mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi, memupuk disiplin dan menggalakkan semangat baru kepada pemain pemain bola sepak masa kini untuk terus berjuang dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi demi maruah dan kecermalangan bolasepak Negara sebagai mana yang dilakukan oleh legenda bola sepak sebelum ini.

SMS NEWS PORTAL

RAIKAN KEJAYAAN Tengku Shakirinal Amin Shah Tengku Sulaiman bersama bekas pemain Selangor meraikan kejayaan mereka selepas menundukkan pasukan bekas pemain Sabah pada kejohanan tersebut

Pada kejohanan tersebut pasukan Bekas Pemain Selangor muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan Bekas Pemain Sabah dengan Jaringan 4 berbalas 2.

scroll to top