Anggota bomba tak sangka anak rentung

Catherine-Janet-Kebakaran-Sarawak.jpg

Gambar yang diambil pada siang sebelum kejadian. Catherine (Paling Kiri)

KUCHING: Luluh hati seorang bapa apabila menerima panggilan rakan setugasnya yang memaklumkan anak perempuannya terkorban dalam kebakaran di kuaters kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Tiwi Nios, 53, berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, hampir setiap hari beliau menerima panggilan kecemasan terutamanya membabitkan kebakaran.

Namun, panggilan dari pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, kira-kira jam 6 pagi tadi, hampir menyentap semangatnya.

“Saya tergamam seketika apabila diberitahu anak perempuan saya, Catherine Janet, yang terkorban dalam kejadian itu.

“Pada mulanya saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya dengar, namun akhirnya saya menerima hakikat kerana selama ini saya sering melihat kejadian serupa dan tidak sangka ia berlaku terhadap anak saya pula,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, Tiwi yang bertugas di BBP Bau berusaha mendapatkan tiket penerbangan ke Miri untuk melihat sendiri keadaan anaknya yang rentung dalam kejadian itu.

Beliau berkata, Catherine, 25, anak keduanya itu adalah satu-satunya perempuan dari empat beradik.

“Anak saya itu baru sahaja balik semula ke sekolah tempatnya bertugas pada Jumaat lalu selepas beliau menyelesaikan urusan untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Kota Samarahan.

“Sebelum balik ke Miri, beliau cukup ceria namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya sambil memaklumkan anaknya itu baru dua tahun bertugas sebagai guru.

Catherine Janet Tiwi, 25, terkorban selepas terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya.

Katanya, sebagai anak perempuan tunggal, Catherine memang cukup rapat serta manja dengan ibunya dan kira-kira jam 6 petang semalam, beliau menghubungi ibunya itu untuk bertanya khabar.

“Isteri saya kata, sepanjang perbualan mereka, Catherine kedengarannya cukup ceria dan bergurau dengan ibunya. Tak sangka, itulah perbualan terakhir mereka,” katanya.

Terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumah

Guru yang terkorban Catherine Janet Tiwi, 25 difahamkan terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya.

Kakak kepada mangsa kebakaran yang terselamat Syuhadah Azhari

Kakak kepada Syuhadah Azhari, 27, yang turut melecur 20 peratus di bahagian muka dan badan itu tersentuh apabila dimaklumkan mendiang terperangkap ketika cuba menyelamatkan adiknya itu.

“Mendiang pada awalnya sudah selamat keluar tetapi masuk semula untuk menyelamatkan adik, mengakibatkan dia yang terkorban,” katanya melalui catatan di laman Facebook (FB) miliknya.

Katanya, Catherine adalah rakan serumah adiknya yang amat baik.

“Adik selalu sering bercerita kebaikan mendiang Catherine kepada saya.

“Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana,” katanya.


ARTIKEL HOT Pilihan Pembaca Minggu Ini

 

Loading...
scroll to top