Sarawak : Gas Asli Ditemui

 Gas Asli Sarawak


Gas Asli Sarawak

Kerja penggerudian untuk kajian tanah di Jalan Tudan, dekat sini yang dilakukan oleh sebuah syarikat kontraktor ditangguhkan sehingga gas asli tidak lagi keluar dari tanah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong memberitahu, syarikat kontraktor berkenaan menghentikan kerja  penggerudian dan membuka semua perkakas mereka, bermula jam 9 pagi semalam.

Katanya sehingga penangguhan itu dilakukan semalam, pihak kontraktor telah melakukan penggerudian sehingga kedalaman 36 meter apabila gas asli dikesan keluar dari bawah tanah di kawasan berkenaan.

Pihak kontraktor berkenaan perlu melakukan pengerudian pada kedalaman 42 meter.

“Sementara itu, hasil tinjauan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng Eddy Zulkifli pada jam 7 pagi (semalam) di lokasi kejadian di Jalan Tudan terbabit, tekanan gas keluar dari bumi sudah mulai berkurangan berbanding semalam (Sabtu),” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Pada Sabtu lalu, sebuah syarikat kontraktor berpejabat di Kuching melakukan kerja penggerudian di tanah tersebut untuk kajian bagi pembinaan jambatan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kerja penggerudian tergendala apabila gas asli dikesan keluar dari bawah tanah di kawasan itu pada jam 4.30 petang.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini yang menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang telah membuat pengawasan di kawasan berkenaan dengan mengawal perimeter supaya kawsan itu dihalang daripada dimasuki pihak tidak berkaitan, manakala orang awam turut dilarang menghampiri tempat tersebut pada jarak 200 meter.

Selain pihak bomba beberapa agensi lain seperti Sarawak Gas, MCOT dan pihak polis turut berada di lokasi sejak kelmarin. UTUSAN BORNEO

Loading...
scroll to top