Polis berkas lelaki ancam bunuh Ketua Menteri di Facebook

ugut-bunuh-ketua-menteri.jpg

Suspek diberkas polis di Kota Samarahan kini direman empat hari - UTUSAN BORNEO

Seorang pembantu gimnasium diberkas dan direman polis apabila disyaki mengancam untuk membunuh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Lelaki berumur 32 tahun itu diberkas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada pukul 4.30 petang, Khamis di Kota Samarahan.

Ketua JSJ Sarawak SAC Denis Leong menerusi kenyataan media berkata suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Pada 7 September lepas, satu laporan polis diterima di Miri berhubung ancaman pembunuhan Ketua Menteri menerusi Facebook.

Penyiasatan awal menunjukkan bahawa ancaman itu mungkin dilakukan oleh pemegang akaun yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Siasatan lanjut mendapati, akaun Facebook tersebut digunakan individu lain yang menetap di Sarawak.

Individu tersebut turut mencabar polis agar menangkapnya.

Sebuah telefon bimbit turut dirampas dan rakan wanita suspek dan seorang lagi juga dipanggil untuk membantu siasatan. Kedua-dua mereka bagaimanapun dibebaskan.

“Setakat ini motif adalah cemburu. Suspek cuba menimbulkan masalah terhadap pemegang akaun Facebook kerana sering berhubung dengan teman wanitanya,” kata Denis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Loading...
scroll to top