Serbuan syarikat balak: Mungkin ada perkara perlu diambil tindakan – Mohd Shafie

Shafie-Apdal-Sedia-Disiasat-Berhubung-Isu-Hartanah-MARA.jpg

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa syarikat pembalakan di Sabah adalah kerana tugas dan tanggungjawab mereka.

“Itu (serbuan) adalah peranan pihak SPRM. Saya pun tidak tahu mereka melaksanakannya.

“(Bagaimanapun) itu adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan (SPRM) kerana mungkin ada sesuatu perkara yang perlu mereka ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Amalan dan Pengurusan Terbaik Kaunseling Sekolah Rendah dan Menengah peringkat negeri di sini, pada Khamis.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar menyatakan SPRM telah mula membanteras kegiatan rasuah membabitkan aktiviti pembalakan di Sabah dengan menyerbu tiga syarikat secara serentak di Sandakan dan Tawau selain menyerbu Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan.

Sementara itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sedang memantau secara dekat laporan media mengenai syarikat pembalakan Sabah yang didakwa terlibat dalam pembalakan haram.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah berkata LHDN ingin mengetahui syarikat mana yang terlibat dalam aktiviti pembalakan haram itu.

“Kerajaan, terutamanya negeri Sabah, kehilangan banyak hasil kerana pembalakan haram dan kami akan menyiasat sedalamnya,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini.

Sabin juga berkata LHDN mensasarkan untuk mengutip RM4.3 bilion dalam kutipan hasil dari Sabah dan yakin sasaran itu akan dapat dicapai.

Mengenai pertemuan dengan Mohd Shafie, Sabin berkata ia adalah kunjungan hormat biasa dan antara lain beliau mengambil peluang itu untuk menjelaskan kepada ketua menteri mengenai kutipan pelbagai bentuk cukai di Sabah.

Sabin menambah bahawa lawatannya ke Sabah juga adalah bagi memperkukuhkan lagi hubungan baik antara LHDN dan agensi persekutuan dan agensi negeri di Sabah. — BERNAMA

Loading...
scroll to top