Wanita Sakit Bersalin Ditinggal PATI Ketika Operasi

SMS NEWS PORTAL

Pendatang Tanpa Izin Tinggalkan Isteri Sarat Mengandung

Bimbang ditahan, suami sanggup melarikan diri dan meninggalkan isteri yang sedang menahan sakit untuk bersalin dalam operasi terbesar pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan pendatang Suluk di sini, awal pagi semalam.

Wanita warga Filipina itu dibawa ke Hospital Miri dan selamat melahirkan anak tidak lama selepas tangkapan dilakukan.

Mengulas mengenainya, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata seramai 155 PATI ditahan dalam serbuan yang turut disertai Pengarah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian.

Katanya, sebahagian besar tahanan adalah wanita, ibu serta 85 kanak-kanak.

Operasi tiga jam bermula jam 1 pagi itu berjaya menahan seramai 146 masyarakat Bajau dan Suluk dari Sabah serta lima masyarakat Bugis dari Sulawesi dan Kalimantan.

Wan Junaidi berkata, walaupun memiliki dokumen dari Sabah, beliau yakin ada sebilangan daripada tahanan adalah warganegara Filipina.

“Sekarang mereka cerdik kerana apabila menyedari ada serbuan, lelaki terus menghilang diri masuk ke hutan dan meninggalkan anak isteri di rumah,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Miri di sini, semalam.

Beliau berharap dengan menghantar semula anak dan isteri PATI ke negara asal, suami yang melarikan diri dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Wan Junaidi menambah, operasi itu dijayakan 329 anggota sembilan agensi iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Miri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tanah dan Survei, Pasukan Sukarelawan Rakyat Malaysia dan SESCo.

Operasi bersepadu itu melibatkan tiga kawasan iaitu Pujut 5D, Kampung Batu Satu Kuala Baram dan Pujut 7.

Pihak berkuasa turut meroboh 14 rumah setinggan di Pujut 5D serta memotong wayar elektrik yang disambung secara haram ke kediaman PATI itu.

“Walaupun tidak ramai lelaki (PATI) ditangkap, saya berpuas hati dengan kerjasama menyerlah antara agensi. Operasi semalam berjaya dan berjalan lancar,” jelasnya.

Loading...
scroll to top