Zahid Janji Ambil Tindakan Segera Kepada Penghasut

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan mengambil tindakan segera kepada penghasut dan tidak akan sesekali berkompromi.

Zahid berjanji untuk mengambil tindakan segera kepada pesalah yang cuba menghasut di negara ini ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agong UMNO di sini hari ini.

Namun, beliau yang menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) agar bekerjasama turut meminta Jabatan Peguam Negara turut berbuat demikian.

“Jangan bebankan kepada polis. Jangan tuduh polis. Polis pula siasat, dan tangkap.” katanya di pada hari terakhir perhimpunan tahunan parti tersebut di PWTC.

Sebelum itu Zahid mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyahut seruan hati dan aspirasi rakyat dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Beliau yang menyokong penambahbaikan akan dibuat pada akta tersebut juga mengucapkan terima kasih kepada badan-badan NGO, kalangan intelektual Melayu, Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan seluruh ahli UMNO serta rakyat yang turut memperjuangkan agar Akta Hasutan dipertahankan.

Tegas Zahid, beliau melaungkan empat tunggak iaitu “jangan digugat, jangan sesekali mahu dirobek atau dijentik jauh sekali dicabar oleh mana-mana pihak.”

“Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang telah disepakati oleh semua kaum,” jelasnya yang seterusnya berjanji akan terus mempertahankan agama Islam dan hak bangsa Melayu.

“Jika saya digelar ‘hardcore Malay’ maka saya adalah ‘hardcore’ untuk orang Melayu. Kalau saya digelar ‘fundamentalis’ saya adalah ‘fundamentalis’ Islam,” tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata yang ia tidak bererti beliau menolak bangsa lain atau tidak menghormati agama lain.

Zahid yakin dan peracaya beliau tidak keseorangan untuk sanggup berkorban apa saja demi bangsa dan negara.

“Pada hari ini juga para perwakilan perlu redha dalam melunaskan jihad ini. Meminjam falsafah Jebat dalam meladani perjuangan maha suci, ‘Bepatah sayap, bertongkatkan paruh, namun ku daki, ku daki jua’,” Zahid mengakhiri ucapannya.

Berhubung Akta Hasutan, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Sharizat Jalil yang menyambut baik keputusan Najib berpendapat tindakan Perdana Menteri itu adalah bukti suara akar umbi parti didengari.

“Wanita sebelum ini desak PM suruh kekal akta ni, dan buktinya PM dah laksanakan. PM juga cakap, kekal Akta Hasutan bukan agenda Melayu, tapi agenda rakyat Malaysia,” ujarnya.

Shahrizat seterusnya menegaskan, Wanita akan menjadi pemikat perpaduan di Malaysia dan Wanita juga berjanji akan beri sokongan melalui tandatangan sejuta yang mana setakat ini sebanyak 300,000 sudah ditandatangani. FMT

Loading...
scroll to top