Zahida tidak perlu maklumkan kepada media – Gopal

Zahida-rafik.jpg

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini diberitahu bahawa pelakon, Zahida Mohamed Rafik tidak perlu memaklumkan kepada media selepas membuat laporan polis berhubung bekas pemandunya yang didakwa mencuri wang RM200,000 pada 2012.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Noor Azman Azemi berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel lima hakim di sini ketika prosiding pendengaran rayuan anak guamnya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Zahida membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM150,000 kerana memfitnah Noor Azman.

Kes itu didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Ahmad Maarop.

Turut bersidang bersama adalah Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan keputusan akan diberikan kemudian pada tarikh akan datang.

Sementara itu, Gopal berhujah bahawa, mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan kebenaran merayu pihaknya bagi menjawab persoalan sama ada terbitan isi kandungan laporan polis oleh pembuatnya kepada umum dilindungi oleh perlindungan mutlak atau tidak.

“Pada 29 Februari 2012, defendan (Zahida) membuat laporan polis terhadap Noor Azman (plaintif). Defendan kemudian ditemui wartawan dan beliau ada memaklumkan dan menunjukkan laporan polis itu.

“Pada 3 Mac 2012, ia disiarkan di Harian Metro yang mana pihak plaintif mendakwa terdapat kenyataan memfitnahnya.

“Kami berhujah bahawa perlindungan mutlak melindungi kenyataan dalam laporan polis itu mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah berasaskan pertimbangan polisi awam,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang alasan yang membolehkan pembuat laporan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas perlakuan fitnah apabila mendedahkan isi kandungan laporan kepada umum

“Kita semua pernah “diserbu” wartawan, diam adalah satu pilihan,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Zahida berkata anak guamnya memberitahu wartawan selepas membuat laporan polis bagi menghalang spekulasi buruk tersebar.

“Adalah tidak sesuai mahkamah ini membuang masa terhadap rayuan yang tidak mempunyai kaitan praktikal kepada pihak-pihak. Apa jua keputusan mahkamah berhubung isu penerbitan laporan polis ini, keputusan Mahkamah Rayuan tidak boleh diubah.

“Anak guam saya tidak terkesan apa-apa daripada permohonan ini selain daripada membuang masa dan wangnya,” katanya.

Pada 16 Mei tahun lalu, Zahida memenangi rayuan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas pemandunya itu kerana memfitnah.

Mahkamah juga memerintahkan Noor Azman Azemi memulangkan RM200,000 kepada aktres itu yang didakwa diambilnya daripada Zahida.

Noor Azman menyaman Zahida dengan mendakwa aktres itu secara salah dan berniat jahat memberi kenyataan fitnah dalam artikel diterbitkan tabloid berbahasa Melayu pada 3 Mac 2012 berhubung kehilangan RM200,000.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2015 memutuskan fitnah berjaya dibuktikan Noor Azman dan memerintahkan Zahida membayar ganti rugi RM150,000 kepada Noor Azman.

Baca Juga: Isu Zahida: Zuraida terima notis saman Shafie Apdal

Loading...
scroll to top