Firman AF dilantik Hyper Act sebagai vokalis baru

Firman-AF-dilantik-Hyper-Act-sebagai-vokalis-baru.jpg

JUARA Akademi Fantasia 2014, Firman Bansir dilantik Hyper Act sebagai vokalis baru yang menggantikan tempat bekas anggota kumpulan itu, Kecik.

Menurut penyanyi kelahiran Sabah itu, peminat menerima baik keputusan itu ketika diumumkan secara langsung menerusi laman Facebook Rusa Music, Isnin lalu.

“Alhamdulilah ketika siaran langsung, tiada komen negatif daripada peminat dan mereka setuju saya menjadi vokalis Hyper Act.

“Mungkin peminat berjaya mengecam suara saya dalam video promosi single baru bersama Hyper Act, Kasih yang dimuat naik syarikat rakaman di Facebook minggu lalu,” katanya.

Firman berkata, kumpulan itu sepakat memilihnya sebagai vokalis baru kerana mereka saling mengenali.

“Kami selalu berjumpa di acara dan akan berborak mengenai industri muzik tanah air.

“Tambahan pula, Hyper Act mahukan penyanyi yang mereka kenal bagi mengelakkan masalah timbul di kemudian hari,” katanya.

Single Kasih dilancarkan dalam aplikasi Apple Muzik pada 18 Ogos lalu dan boleh didengari di semua platfom digital mulai 1 September ini.

Manakala muzik video Kasih boleh ditonton di YouTube pada minggu depan.

Selain Firman, Hyper Act kini dianggotai Akir (keyboard), Freddy (gitar), Ejam (dram), Loco (keyboard) dan Etan (gitar).

Tahun lalu, Kecik atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Kamarudin mengambil keputusan untuk meninggalkan Hyper Act selepas mencapai persetujuan anggota kumpulan berkenaan.

Loading...
scroll to top