Tawaran Skop Production, Permulaan baik untuk Pelakon Sabah

Marlin-Marlalin-bersama-Datuk-Yusoff-haslam.jpg

APABILA membaca WhatsApp yang tertera nama orang yang saya kenal, tersangatlah sukanya saya. “Salam bang. Dato Yusoff Haslam tawar saya berlakon drama TV Gerak Khas 2018.”

Berita ini menggembirakan saya. Dia salah seorang aktor Sabah yang saya fokus kemajuan dan pencapaiannya di dalam bidang lakonan dan perfileman.

Marlin Malalin, pelakon kelahiran Tawau 34 tahun lalu sememangnya meminati lakunan aktor seperti Robert DeNiro, Al-Pacino, Marlon Brando, Toshiro Mifune dan ramai lagi pelakon hebat dunia. Manakala P. Ramlee dan Nordin Ahmad adalah idolanya.

Saya yang menggelarkan dia Marlon Brando Sabah memandangkan dia seorang pelakon berwatak (Character Actor). Dia study character.

Rajin study dialogue. Sehinggakan latar adegan iaitu lokasi, props dan set serta busana dilakukannya penyelidikan cukup terperinci. Ringkasnya, skrip yang diberikan kepadanya dibawa tidur untuk bermimpi. Sekiranya skrip itu dimakan, skrip itu akan dihadamkan supaya menjadi gizi.

Pelakon sebegini dikatogerikan sebagai Character Actor. Saya suka memperkenalkan satu istilah baru dicipta dengan nama Watakal. Digabungkan dari dua perkataan Watak + Akal. Pelakon yang berakal. Pelakon yang apabila mendapat watak akan bertindak menggunakan ‘alur fikir’.

Dia sedar kenapa dia mesti beraksi menjerit, marah, sedih, menangis, ketawa dan sebagainya untuk menuju ke matlamat pewatakan yang dituntut oleh karakter. Lakonan yang lemah pula selalu pelakonnya bergerak atas dasar ‘alur emosi’. Akhirnya, yang kita tonton ialah emosi kosong lakonannya dan lontaran dialog mereka yang ‘kering’.

Tidak kepada Marlin Malalin. Tukarlah gaya fesyen rambutnya. Solekanlah wajahnya sekacak atau sehodoh mana pun. Beri apa sahaja pakaian dan busana. Ganti baris katabual (dialog), dia akan tampil dengan ranggi. Dia adalah Watakal.

Yusoff Haslam bukan calang-calang orang. Dia pengamat seni filem. Kesempatan dia dijemput menjadi pelakon tetamu dalam filem Tangisan Akinabalu terbitan dan arahan Dato Jurey Latiff, melihat sendiri keupayaan Marlin di dalam set ketika penggambaran filem dijalankan sekitar Kundasang. Yusoff berlakon sebagai Tuan Farhan, Ketua Polis Ranau yang berpangat OCPD.

Sebab itulah, Skop Production tidak ragu-ragu menawarkan watak kepada Marlin yang saya rasa menjadi titian kepada pelakon Sabah yang lain untuk mendapat peluang bekerja dengan Produksi Semenanjung.

“Saya akan buat yang terbaik seperti yang pernah abang ajar,” Marlin menambah kata lewat kiriman WhatsApp.

Ingatan saya terus kembali ke tahun 2009. Marlin antara peserta Bengkel Penulisan Skrip Filem & TV yang dianjurkan oleh Finas sempena Festival Filem Malaysia di Kota Kinabalu. Seramai 20 peserta menjalani kursus skrip di Dewan DBKK, Kingfisher.

Marlin teruja dengan ilmu penulisan skrip. Katanya selepas berkursus, lakonannya lebih terarah dalam memahami erti sesebuah naskah yang dinamakan Screenplay atau lakonlayar. Dia tidak menoleh ke belakang lagi dan terus memperdalami ilmu penulisan sehingga boleh menulis skrip sendiri.

ASP Jeslina.. Marlin berpeluang berlakon dengan pelakon terkenal Erra Fazira dalam GERAK KHAS

Sehingga atikel ini ditulis, Marlin menulis enam skrip Telemovie, dua untuk TV Magazine, satu dokumentari dan sebuah skrip filem berjudul Kapayan Manah bakal diterbitkan oleh World Evolution Brain milik Dato Jurey Latiff Rosli.

Skrip Aboi yang ditulis bersama rangsangan idea Ebi Kornelis adalah daripada unjuran latihan penulisan skrip yang mereka ikuti. Marlin dan Ebi akhirnya berpakat menubuhkan syarikat sendiri, Empayar Bayu Sdn Bhd dan menerbitkan Aboi.

Mereka turut mengambil peranan berlakon yang dibintangi oleh Alex Raja Lawak dan Lydia Anthony Lijua. Turut berkongsi modal untuk projek Aboi ialah Said A Malek Sam, seorang penerbit video dari Keningau.

Tawaran berlakon datang bertalu-talu. Dia terkenal dengan peranan antagonis tetapi tetap berwibawa apabila diberi peranan protagonis. Sudah berlakon hampir 40 drama dan dua filem.

Sindiket arahan Bade dan Tangisan Akinabalu arahan Jurey Latiff sebagai watak Ginsuan. Manakala drama TV pula antaranya YB, Layar Impian, Mendoa Kepuncak, Malim Gunung, Cinta Gadis Igal-Igal, Madai Menanti, Percintaan Tanpa Izin, Bujang Second Hand dan lain-lain.

Dalam diam, nama Marlin disebut-sebut di Semenanjung sebab dia berkesempatan bekerja dengan produksi dari Kuala Lumpur yang menjalani shooting di Sabah. Dia pernah berlakon disamping Izzu Islam, Nad Zainal, Adi Putra, Shahnaaz, Nabila Huda, Sofi Jikan, Mubarak Majid, Intan Ldyana, Erma Hasmie, Aeril Zafril, Wan Raja, Kaza, Juliaa Zieglar dan ramai lagi.

Tawaran daripada Datuk Yusoff Haslam adalah satu penghormatan awalan kepada Marlin untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan barisan artis Semenanjung.

Terima kasih tidak terhingga kepada Skop Production kata Marlin. Dia meyakinkan saya untuk tidak mengecewakan Skop dengan berjanji melakukan yang terbaik demi mewakili seluruh pelakon Sabah.

Saya sendiri bangga dengan kewibawaan pelakon Sabah selain Marlin. Kita tunggu untuk menonton aksi Marlin dalam episod Gerak Khas 2018 tidak lama lagi. Marlin Malalin akan buktikan dia adalah Marlon Brando of Sabah.

OLEH: KAMAL ISHAK, PENGARAH, PENULIS SKRIP


Dalam Perkembangan lain, rata-rata orang ramai melalui maklumbalas di facebook 1SABAH menunjukkan respon positif dan menyokong perjuangan Anak Sabah ini.

Loading...
scroll to top