Anifah Aman Menegur Duta Besar Korea Utara

Anifah-Aman-Menegur-Duta-Besar-Korea-Utara-2.jpg

PUTRAJAYA: Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, diingatkan mengenai kepentingan memperoleh keyakinan kerajaan di sini semasa berkhidmat di negara ini dan jangan terus melemparkan tuduhan terhadap Malaysia tanpa usul periksa.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang merujuk kepada kes bunuh Kim Jong-nam, berkata polis sedang menyiasat kes itu dan mereka perlu diberi ruang untuk tumpukan sepenuhnya dalam mencari punca kematian serta mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

“Saya harap anda (Kang Chol) faham apa yang saya maksudkan dengan anda perlu memperoleh keyakinan kerajaan, anda perlu faham dan sedar akan niat serta perasaan kerajaan selain rakyat Malaysia.

“Namun, pada peringkat ini, Malaysia melihat adalah tidak perlu untuk mementingkan kenyataan Kang Chol dan tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Malaysia.

“Seluruh dunia tahu bahawa penyiasatan dijalankan secara objektif, saksama dan telus,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada pemberita berhubung lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia Ahad ini, di sini hari ini.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan menekup mukanya dengan cecair beracun.

Anifah menjelaskan, Kang Chol sudah dimaklumkan mengenai proses penyiasatan yang terbabit tetapi duta besar itu masih dalam dunia khayalannya sendiri dan terus membuat pembohongan dengan melemparkan tuduhan terhadap Kerajaan Malaysia.

Beliau menegaskan, dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan kepada mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain dan mengharapkan pendirian itu dibalas dengan sewajarnya.

Tambah beliau, sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa menunaikan tanggungjawab antarabangsa mengikut undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik lazim yang diterima pakai.

Loading...
scroll to top