Bayaran 20 peratus royalti minyak belum dapat dilaksana – Azmin

Bayaran-20-peratus-royalti-minyak-belum-dapat-dilaksana-Azmin.jpg

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin A

KUCHING: Pelaksanaan cadangan bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar akan memakan masa apabila Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 perlu dipinda terlebih dahulu.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dalam laporan New Straits Times, cadangan itu tidak dapat dilaksanakan sekarang apabila ia bercanggah dengan PDA 1974.

“Untuk melaksanakan (royalti 20 peratus), ia akan mengambil masa memandangkan pindaan perlu dibuat pada PDA,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), yang bertanya bila kerajaan persekutuan dapat melaksanakan royalti 20 peratus yang dijanjikan kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Azmin berkata PDA menetapkan royalti minyak pada 10 peratus daripada keuntungan bersih kepada kerajaan persekutuan dan negeri pengeluar minyak.

Menurut beliau, Petronas perlu membuat pembayaran tunai 10 peratus pengeluaran kasar minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan, dimana 5 peratus akan diberi kepada kerajaan negeri.

Beliau menambah, PDA dengan jelas menyatakan pemberian royalti memerlukan persetujuan dari negeri-negeri pengeluar minyak dan untuk itu, kerajaan persekutuan perlu berbincang dengan kerajaan negeri sebelum jumlah royalti ditingkatkan.

Sementara itu, Azmin berkata royalti 20 peratus dicadangkan perlu berdasarkan keuntungan bersih berbanding pengeluaran kasar untuk mengelakkan kesan kewangan buruk terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan.

“Jika Petronas perlu membayar royalti minyak 20 peratus berdasarkan pengeluaran kasar, ia akan memberi kesan buruk terhadap kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beberapa ahli parlimen dari negeri pengeluar minyak seperti Sarawak dan Kelantan cuba mengemukakan soalan, termasuk Ahli Parlimen Sarawak, Datuk Seri Nancy Shukri (PBB-Batang Sadong).

Bagaimanapun, Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menjelaskan bahawa ia hanya sesi soal jawab dan bukanya perdebatan.


ARTIKEL HOT Pilihan Pembaca Minggu Ini

Loading...
scroll to top