Dua Menteri Diarah Beri penjelasan

Dua-Menteri-Diarah-Beri-penjelasan-zahid.jpg

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Kuching: Kerajaan akan menyelesaikan polemik yang timbul susulan keputusan Jabatan Perkhidmatan wam (JPA) memberi kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) bagi lantikan kontrak jawatan Pegawai Perubatan UD41 dalam Mesyuarat Kabinet, esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui mesyuarat itu kerajaan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung keputusan JPA itu.

Beliau berkata, Kabinet akan mendapatkan penjelasan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Datuk Joseph Entulu Belaun mewakili kementerian masing-masing bagi mendapat gambaran jelas mengenai keputusan terbaru yang dibuat itu.

Menurutnya, penjelasan daripada kedua-dua pihak itu penting supaya kontroversi yang berlaku berikutan keputusan itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya akan meminta menteri yang bertanggungjawab untuk beri maklumat mengikut perspektif JPA sebagai pencerahan terhadap isu yang menjadi polemik di peringkat akar umbi terutama dalam kalangan pejuang Bahasa Kebangsaan.

“Perkara ini (keputusan JPA mengenai BM sebagai syarat lantikan) seharusnya ditangani dengan fikiran terbuka dan kita harus mendengar penjelasan menteri terbabit terlebih dulu supaya ia tidak lagi menjadi kontroversi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kunjungan Mesra Gawai Dayak di Kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

JPA pada 23 Februari lalu memberi persetujuan terhadap kelonggaran syarat kelayakan lulus BM untuk pelantikan secara kontrak bagi jawatan berkenaan.

Langkah itu bagi membolehkan graduan yang berkelayakan menjalani latihan siswazah selama dua tahun serta khidmat wajib selama dua tahun.

Namun keputusan itu mendapatkan reaksi kurang menyenangkan apabila BM bukan lagi menjadi keutamaan kepada graduan perubatan.

Loading...
scroll to top