Jabatan Imigresen buru pendatang asing jadi peniaga

Jabatan-Imigresen-buru-pendatang-asing-jadi-peniaga.jpg

Jabatan Imigresen Malaysia

LABUAN — Jabatan Imigresen, yang kini giat memburu pekerja asing tanpa izin (PATI), turut memberi tumpun terhadap pendatang tanpa izin yang terlibat dengan perniagaan di seluruh negara.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata jabatan itu akan bekerjasama rapat dengan majlis tempatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membasmi kegiatan itu.

Rakyat Malaysia sendiri turut bertanggungjawab bagi kemunculan perniagaan dikendalikan pendatang tanpa izin di bandar utama kerana orang tempatan merupakan pemegang lesen atau pemilik premis perniagaan yang digunakan golongan itu, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tentang ekspatriat dan pekerja asing di sini semalam.

Beliau berkata jika dilihat bagaimana golongan PATI boleh mengembangkan empayar perniagaan mereka, adalah dipercayai, mereka yang mendalangi aktiviti itu terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri yang bertindak mengambil bekerja dan melindungi pendatang tanpa izin.

“Pendatang ini akhirnya menjadi majikan dan menguasai perniagaan di kawasan tertentu,” katanya.

Mustafar berkata pendatang hanya diberi pas lawatan sosial dan tidak boleh bekerja atau berniaga kerana dokumen itu hanya memberi kebenaran kepada mereka untuk berada di negara ini bagi tujuan bercuti.

“Jika mereka diambil (secara sah) untuk menjadi pekerja, mereka hendaklah kekaI sebagai pekerja dan tidak boleh menjadi peniaga, memiliki premis atau entiti perniagaan yang bertentangan dengan undang-undang negara ini,” katanya.

Menurut Mustafar, sesetengah pendatang tanpa izin menetap di negara ini dan bekerja di beberapa syarikat sejak lebih 11 tahun lepas.

“Kami percaya mereka menyusup masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan sah melalui lorong tikus dan, yang anehnya, majikan tempatan terus mengambil mereka bekerja. Setelah berada di negara ini untuk sekian lama, kini mereka mempunyai perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata sesetengah pendatang yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial atau pas pekerja sementara, berkahwin dengan wanita Malaysia dan mendapat lesen serta menjalankan perniagaan melalui isteri masing-masing.

Katanya, perbuatan pendatang menguasai sesetengah jenis perniagaan menyekat peluang rakyat tempatan untuk berniaga.

Mustafar berkata pemantauan ketat dan secara berterusan perlu dilakukan untuk membolehkan isu ini ditangani dengan berkesan dan menurut beliau, terdapat juga pendatang mengendalikan premis perniagaan yang terlibat dengan penyakit sosial seperti hiburan haram, rumah urut dengan �perkhidmatan tambahan´ dan pelacuran.

“Premis ini, yang menjadi ancaman kepada keharmonian sosial, perlu segera ditutup oleh majlis tempatan. Kami sudah bertindak demikian bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui operasi baru-baru ini.

“Pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab bagi pengeluaran lesen hiburan dan lesen premis perniagaan, manakala Imigresen pula bertanggungjawab bagi urusan mendokumentasikan pendatang.

“Oleh itu, kami perlu bekerjasama dan mengadakan operasi bersepadu secara besar-besaran serta berkala bagi mengatasi isu itu,” katanya. ​​​​​​​

Mustafar berkata sekiranya isu itu berlarutan, akan wujud persepsi negatif terhadap kerajaan kerana orang ramai akan mula menyalahkan pihak berkuasa, terutama Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri kerana tidak mengambil tindalkan sewajarnya.

Menurut beliau, 31 Ogos adalah tarikh akhir bagi PATI menyerah diri secara sukarela dan jika gagal berbuat demikian, mereka akan ditangkap dan didakwa.

Katanya, setelah berakhir program pengambilan semula pekerja haram pada 30 Jun, sebanyak 4,500 pendatang tanpa izin dan 656 majikan yang mengambil bekerja dan melindungi pendatang tanpa izin telah ditangkap dan kebanyakan mereka dihadapkan ke mahkamah. — BERNAMA

Loading...
scroll to top