Jangan Emosional Isu Royalti Petroleum

Jangan-Emosional-Isu-Royalti-Petroleum.jpg

Jangan Emosional Isu Royalti Petroleum - Ketua Menteri Sarawak

Isu royalti petroleum

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg meminta semua pihak bersikap rasional berhubung proses rundingan kadar royalti hasil petroleum yang sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan PETRONAS.

Katanya, proses itu mungkin tidak menemui jalan penyelesaiannya jika ada pihak bersikap emosional, termasuk membuat pelbagai permintaan kurang munasabah yang tentunya membawa kepada lebih banyak kerugian. “Kita (Sarawak) bersikap rasional dalam isu royalti ini.

Jika mereka (PETRONAS) tidak mampu memberikannya (kenaikan royalti) buat masa ini, kita cuba meneliti beberapa opsyen lain, termasuk meningkatkan penyertaan kita dalam industri hiliran dan proses carigali.

“Itulah secara prinsipnya rundingan yang sedang berlangsung sekarang. Konsepnya masih sama, malah impaknya mungkin jauh lebih baik atau banyak daripada royalti yang kita tuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak di sini, petang tadi. Abang Johari turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terkini tahap keselamatan negeri pada sesi lawatan itu oleh Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan Sarawak, berkata pihaknya juga memantau perkembangan harga minyak dunia bagi mendokong proses rundingan berkenaan.

“Kita juga perlu memahami situasi dialami PETRONAS. Jika kita mahu menuntut kenaikan kadar royalti kepada 20 peratus, PETRONAS juga perlu adil pada Kerajaan Pusat untuk memberikan kadar sama, selain cukai berkaitan. “PETRONAS tidak boleh beroperasi dengan kos yang tinggi. Ini tentunya boleh menjejaskan mereka,” katanya.

Beliau berkata kerjasama diberikan PETRONAS juga berada pada tahap terbaik, khususnya dalam membantu perkembangan industri minyak dan gas negeri melalui penyertaan dalam kalangan syarikat tempatan sebagai pemain industri.

“Sebab itulah kita bangunkan kilang methanol… PETRONAS beri kita gas untuk tujuan itu. Ini antara inisiatif kita membangunkan industri hiliran berasaskan petroleum, termasuk menjadikan Bintulu sebagai hab petrokimia,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari menggesa supaya perubahan trend jenayah siber sentiasa diawasi, termasuk meningkatkan persediaan berkaitan bagi menghadapi ancaman berkenaan.

Katanya, ancaman penjenayah siber tidak boleh dipandang mudah kerana boleh mendatangkan implikasi kepada usaha kerajaan negeri membangunkan ekonomi digital yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengekang kegiatan itu.

“Dalam taklimat keselamatan diberikan, saya dimaklumkan kes jenayah siber di Sarawak berada pada tahap terkawal.

Namun, kita tidak boleh mengambil mudah perkembangan itu, malah usaha perlu dilipatgandakan bagi mengekang ancaman berkenaan.

“Kita perlu memperkukuhkan tahap keselamatan siber sedia ada dan memanfaatkan kecanggihan teknologi digital terkini.

Inilah hasil lawatan kita ke United Kingdom baru-baru ini untuk mengadaptasikan kelebihan teknologi keselamatan siber mereka,” katanya.

Loading...
scroll to top