Mangsa rogol gugurkan kandungan dipenjara 6 bulan

Mangsa-rogol-gugurkan-kandungan-dipenjara-6-bulan.jpg

JAKARTA: Gadis berusia 15 tahun yang menjadi mangsa rogol abang kandungnya, dipenjarakan enam bulan kerana menggugurkan kandungan, kata pegawai Indonesia hari ini.

Mangsa dijatuhi hukuman kelmarin bersama-sama abangnya, 17, dalam sesi pendengaran tertutup di Mahkamah Daerah Muara Bulian di Sumatera, kata jurucakap mahkamah, Listyo Arif Budiman.

“Gadis itu didakwa menurut undang-undang perlindungan kanak-kanak kerana melakukan pengguguran,” katanya.

Sementara abang mangsa dipenjarakan dua tahun kerana merogol gadis bawah umur.

Indonesia melarang pengguguran kecuali ia membahayakan nyawa ibu atau dengan syarat tertentu jika mangsa dirogol.

Undang-undang mewajibkan pengguguran dilakukan golongan profesional berdaftar tidak lebih enam minggu kehamilan dan wanita itu perlu menjalani kaunseling.

Gadis itu, yang dirogol abangnya lapan kali bermula September tahun lalu, melakukan pengguguran enam bulan selepas hamil.

Beliau dibantu ibunya yang berhadapan dakwaan berasingan.

Polis menahan kedua-dua saudara itu Jun lalu selepas janin lelaki ditemui di ladang kepala sawit berhampiran kampung Pulau di Jambi.

Pendakwa pada asalnya memohon gadis itu dipenjarakan setahun dan abangnya tujuh tahun. Mereka masih boleh mengemukakan rayuan.

Pihak berkuasa global dan kumpulan hak sudah lama mengkritik undang-undang pengguguran Indonesia, yang dikatakan mengehadkan hak wanita kepada kesihatan reproduktif dan membawa kepada banyak kes pengguguran di klinik haram. – AFP

Loading...
scroll to top