Mau tukul kelapa terkena kepala – Luar Negara

Luar Negara, INDIA: Gara-gara mahu menunjukkan kepakarannya, seorang guru seni pertahanan diri nyaris menyebabkan seorang lelaki mati.

Satu video menunjukkan guru berkenaan mempamerkan kehebatannya dengan menggunakan tukul besi untuk menghancurkan buah yang disusun berhampiran dua sukarelawan yang baring di lantai.

Dengan matanya ditutup, guru itu mengangkat tukulnya lalu menghayunkannya untuk menghancurkan buah berkenaan.

Orang ramai yang menyaksikan persembahan itu kagum dengan kemahiran guru itu memecahkan buah tembikai dan kelapa satu per satu walaupun dalam keadaan matanya ditutup.

Bagaimanapun, apabila tiba pada sukarelawan kedua, guru itu melakukan kesilapan apabila tersilap mengagak kedudukan kelapa yang diletak dihujung kepala sukarelawan itu.

Ia menyebabkan hayunan tukul itu terkena kepala sukarelawan berkenaan.

Sukarelawan itu menjerit kesakitan dan merengkokkan badannya sebelum dilihat pengsan seketika.

Orang ramai bergegas membantu lelaki yang cedera itu sementara guru terbabit menanggalkan penutup matanya apabila menyedari dia melakukan kesilapan.

Mangsa kemudian dirakam berdiri dan berjalan sambil memegang kepalanya. Tidak dapat dipastikan sama ada dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sambutan perayaan agama Sikh di selatan India. – Agensi

Loading...

Leave a Reply

arrow