Analisis Politik Sepanggar – Memilih Calon Gelandangan ?

Parlimen-Sepanggar.jpg

OLEH: MUSLI OLI

Datuk Seri Rahman Dahlan, Menteri EPU yang juga Ahli Parlimen Kota Belud adalah nama yang disebut-sebut bakal dipilih calon UMNO-BN untuk kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU akan datang.

Setelah menumpang di Kota Belud, selama dua penggal Rahman terpaksa sekali lagi menjadi “calon gelandangan” mencari kawasan baru untuk meneruskan karier politiknya berikutan keputusan UMNO bahagian Kota Belud mencadangkan calon parlimen pada PRU akan datang terdiri dari kalangan pemimpin UMNO Bahagian.

Parlimen Sepanggar sekali lagi disebut-sebut sebagai kerusi pilihan bekas Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri itu. Sebenarnya pada PRU 2013 lalu beliau pernah melobi untuk bertanding kerusi Sepanggar berikutan beliau pernah berjanji mewakili Kota Belud untuk satu penggal sahaja.

Tetapi Perdana Menteri telah memilih Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris, sahabat akrabnya sebagai calon dan mengekalkan Rahman Dahlan di Kota Belud untuk sepenggal lagi. Manakala Ketua UMNO Kota Belud, Datuk Salleh Said bertanding kerusi DUN Usukan.

Krisis antara Datuk Jumat Idris dengan Ketua Menteri Sabah beberapa tahun yang lalu telah membawa kepada penggantungan keahlian Ketua UMNO Bahagian itu selama satu penggal. Situasi yang sama berlaku di Kota Belud yang membolehkan RD sebagai calon Parlimen Kota Belud menggantikan Datuk Seri Salleh Said (SSK) yang digugurkan pada PRU 2008.

Apakah Datuk Jumat Idris bakal digugurkan sebagai calon Parlimen Sepanggar untuk menempatkan Rahman Dahlan?

Parlimen Sepanggar adalah kawasan pinggir bandar yang merupakan hub-pendidkan utama di negeri Sabah. Di kawasan Sepanggar terdapat lebih tujuh IPTA termasuk beberapa kolej dan sekolah latihan perindustrian yang penting.

Parlimen Sepanggar terdiri daripada 3 kawasan DUN. DUN Karambunai yang kini di wakili Datuk Jainab Ahmad, DUN Inanam yang diwakili Dr Roland Chia dari Parti PKR dan satu DUN baru – Darau.

Tinjauan mendapati rakyat Sepanggar tidak menolak Rahman Dahlan sebagai calon baru di kawasan itu kerana Rahman kata mereka mempunyai karakter tersendiri menarik sokongan anak-anak muda dan golongan terpelajar. Namun dalam masa yang sama Datuk Jumat perlu dikekalkan untuk mengekalkan sokongan penyokong tradisi dan penduduk tempatan.

“Sebaiknya kekalkan juga Datuk Jumat sebagai salah seorang calon DUN untuk mempastikan kemenangan BN di Sepanggar. Barangkali Datuk Jainab cukup berjiwa besar untuk beri laluan kepada Jumat. Mungkin Datuk Jainab boleh berpindah ke kawasan lain seperti menggantikan Hamisa Samad di Tawau. Kita tidak boleh letak semua calon luar dan singkirkan pemimpin tempatan begitu sahaja di kawasan Sepanggar.” Kata salah seorang AJK Bahagian Sepanggar yang tidak mahu disebut namanya.

Cadangan mengekalkan Datuk Jumat Idris sebagai salah seorang calon DUN merupakan formula “menang-menang” kata seorang bekas Naib Ketua UMNO Sepanggar. “Apapun kita serahkan kepada budi bicara KM Sabah dan PM yang lebih arif mengenai siapa yang layak mewakili Sepanggar” ujarnya lagi.

Loading...
scroll to top