Darell Leiking mahu Kad Sabah untuk orang asal Sabah

Darell-Leiking-cadang-Kad-Sabah-untuk-orang-asal-Sabah.jpg

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mencadangkan kerajaan negeri pimpinan parti itu memperkenalkan Kad Sabah sebagai langkah mengenal pasti penduduk asal negeri ini.

Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking, berkata cadangan itu sudah disuarakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan menjelaskan bahawa ia akan dipertimbangkan kerajaan.

“Ini bukan cadangan kerajaan, ia adalah idea saya. Kita tidak perlu kebenaran daripada Perdana Menteri untuk mewujudkan Kad Sabah kerana ia tidak menjejaskan Mykad.

“Mykad kekal sebagai bukti kewarganegaraan seseorang, Kad Sabah pula bertujuan untuk merekodkan siapa rakyat tempatan Sabah,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, ketika ditemui pemberita hari ini.

Darell Leiking

MOHD Shafie ketika menerima kunjungan hormat daripada Darell di Bangunan Pusat Pentadbiran Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Edmund Samunting

Ahli Parlimen Penampang itu menegaskan, Kad Sabah tidak menggantikan MyKad, memandangkan pengambilan balik kad pengenalan Malaysia tidak praktikal disebabkan implikasi undang-undang.

“Ketika saya tanya perkara ini di Parlimen tahun lalu, kerajaan mengatakan sekiranya kita membatalkan MyKad, mungkin ada implikasi undang-undang kerana ia menyentuh hak seseorang.

“Pemilik MyKad mungkin akan bertanya kenapa di Sabah perlu kembalikan MyKad dan bukan di negeri lain dan mengapa persoalkan hak saya,” katanya.

Ditanya jabatan mana yang mengendalikan Kad Sabah, Darell berkata ia harus dilakukan dan diselaraskan oleh satu badan bersama Jabatan Ketua Menteri serta mereka yang mengendalikan mahkamah bergerak termasuk Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjun.

Darell berkata, ia tidak mudah bagi setiap pemilik MyKad memohon Kad Sabah kerana perlu melalui proses penapisan.

“Kad Sabah hanya dikeluarkan kepada mereka yang memiliki MyKad, sekiranya MyKad mencurigakan, maksudnya ia diperoleh secara salah, adakah anda fikir ada orang berani memohonnya? Saya rasa tidak.

“Cadangan saya, Kad Sabah akan memberi manfaat kepada orang ramai. Sekiranya Datuk Seri Shafie dapat mengatasi masalah kewangan negeri kita dan dapat mengembalikan keadaan kewangan dalam keadaan baik, mungkin ia akan berjalan lancar,” katanya.

Pengakuan Tun Dr Mahathir berhubung pemberian Kad Pengenalan di Sabah

Loading...
scroll to top