Lebih ramai pemimpin Upko dijangka letak jawatan

Lebih-ramai-pemimpin-Upko-dijangka-letak-jawatan.jpg

KOTA KINABALU: Peletakan jawatan pemimpin Upko baru-baru ini membimbangkan Bendahari Agung Datuk Dr Marcus Mojigoh.

Kebimbangan itu dirasainya kerana mendapat maklumat bahawa lebih ramai pemimpin parti itu memikirkan untuk melakukan perkara yang sama.

Ketua Upko Bahagian Putatan itu melahiran kebimbangan terhadap perkara itu dan menggesa kepimpinan parti supaya mengenalpasti punca mereka yang meninggalkan parti.

Marcus Mojigoh

Manta Ahli Parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh

Bekas Ahli Parlimen Putatan itu juga mendakwa bahawa peletakan jawatan pemimpin Upko baru-baru ini kemungkinan akan mendorong sesetengah pemimpin dan ahli akar umbi mempertimbangkan untuk meninggalkan parti itu.

“Sembilan pengerusi cawangan di bahagian saya di Putatan juga telah meletak jawatan. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku tetapi imej parti yang dibawa oleh pembangkang memberi kesan kepada kami, seperti protes terhadap kepimpinan Upko baru-baru ini,” katanya.

Mojigoh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Ketua Pemuda Upko Pusat Arthur Sen dan Ahli Majlis Tertinggi Haji Suip Saniman.

“Saya sangat berharap kepimpinan parti akan memanggil mereka yang telah meninggalkan parti serta mereka yang merancang untuk keluar daripada parti. Perpaduan sangat penting… kita berada dalam kerajaan sekarang (jadi) kita perlu mengetahui mengapa mereka tidak berpuas hati dengan parti ini.

“Malah saya cuba bercakap dengan mereka tetapi mereka enggan mengatakan apa-apa mengenai mengapa mereka meninggalkan parti.

“Justeru, kepimpinan parti harus berusaha untuk menghubungi mereka dan juga mereka yang tidak berpuas hati dengan pengurusan parti terutamanya apabila Upko akan mengadakan pemilihan parti tahun ini,” katanya.

Bagi Mojigoh, ada keperluan mendesak untuk mengetahui mengapa ahli meninggalkan parti satu demi satu. “Jika mereka mahu menyertai pembangkang terpulanglah kepada mereka, tetapi saya menasihatkan mereka untuk kekal bersama Upko.”

Mengenai kekuatan parti itu, beliau berkata secara keseluruhan ia masih kukuh.

Pemilihan parti mungkin akan diadakan pada Oktober tahun ini dan beliau berpendapat ia sangat penting agar semua isu seperti perkauman, PTI dan agama harus dihindari buat masa ini.

Beliau juga berharap agar semua cawangan akan mencadangkan individu yang benar-benar boleh menjaga parti dan ahlinya, bukan seseorang yang mempunyai kepentingan peribadi seperti hanya untuk mendapatkan jawatan.

“Kita perlu mengelak perkara ini dan saya menawarkan perkhidmatan saya… jika mereka masih memerlukan saya, saya bersedia membantu kepimpinan parti. Jika tidak, saya kekal sebagai ahli tanpa sebarang jawatan dalam parti,” katanya.

Loading...
scroll to top