Mahkamah Tinggi tolak permohonan Shafie

Musa-Aman-Shafie-Apdal.jpg

Isu pelantikan Ketua Menteri Sabah antara Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, menolak permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membatalkan kes saman pemula yang difailkan Tan Sri Musa Aman berhubung isu pelantikan Ketua Menteri Sabah.

Hakim Datuk Yew Jen Kie, membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah yang disampaikan oleh pihak plaintif.

“Oleh itu saya memutuskan untuk menolak permohonan berkenaan dengan kos,” katanya pada prosiding kes saman berkenaan, hari ini.

Musa diwakili peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad, manakala Mohd Shafie diwakili oleh Datuk Douglas Lind.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Writ saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messr FT Ahmad & Co yang mewakili Musa, menggantikan saman difailkan pada 17 Mei lalu yang dibatalkan.

Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.

Pada masa yang sama, saman itu juga bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.

Loading...
scroll to top