Sidang DUN Sabah menjadi ‘Panas’ selepas perang mulut antara Hajiji dan Madius Tangau

hajiji-wilfred-madius-tangau-sidang-dun-sabah.jpg

Reaksi Hajiji terhadap kenyataan Madius pada Sidang DUN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini kecoh apabila berlakunya perang mulut pada sesi soal jawab.

Pertikaman lidah tersebut bermula selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor berjenaka dengan melabel Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wildred Madius Tangau sebagai individu ‘melompat’.

Sindiran itu dilemparkan ketika Hajiji mengajukan soalan mengenai sasaran Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dalam mewujudkan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2023 seperti diumumkan.

“Soalan ini untuk kawan (Madius) saya yang melompat ke sebelah sana. Adakah sasaran kementerian untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaaan ini satu lagi janji indah khabar dari rupa kerajaan?.”

Kurang senang dengan lawak sinis terbabit, Madius lantas bersuara supaya parti UMNO segera pulang ke Semenanjung lalu menyebabkan suasana di dalam dewan bertukar kecoh sehingga terpaksa ditenangkan Timbalan Speaker DUN Sabah, Ahmad Abdul Rahman.

Madius berkata beliau meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyekutukan parti Upko dengan parti pemerintah Parti Warisan Sabah-Pakatan Harapan (PH) dengan harapan supaya Umno keluar dari Sabah.

Hajiji lantas bangkit dan mengingatkan Tangau bahawa jika bukan kerana Umno, dia tidak akan mengekalkan kerusi Tuarannya.

“Dia tewas di DUN Tamparuli dan DUN Kiulu (kerusi negeri di Parlimen Tuaran). Dia hanya menang di Sulaman, terima kasih kepada Umno. Dia tidak mempunyai prinsip, jadi jangan cakap tentang Umno.

“Tidak kira betapa buruknya Umno, ia masih menjadi parti yang memastikan kemenangannya di Tuaran,” kata Hajiji.

Hajiji turut mengarahkan seorang lagi ADUN BN dari UMNO yang keluar parti dan mesra kepada WARISAN-PH iaitu ADUN Pitas Datuk Bolkiah Ismail supaya jangan banyak cakap selepas Bolkiah cuba menyejukkan keadaan yang tegang.

“Anda tidak banyak bercakap di sana. Apa yang saya minta Tangau adalah untuk menjawab soalan saya dan tidak bercakap tentang Umno, “kata Hajiji.

Hajiji kemudiannya menyatakan Madius tidak berhak mengaitkan UMNO dalam perkara tersebut

“Sepatutnya, Madius hanya menjawab soalan diajukan bukannya menyentuh hal UMNO.

“Jangan mencari salah UMNO. Jika bukan ahli UMNO mengundi di Parlimen Tuaran maka dia pasti kalah,” tegas Hajiji kepada timbalan speaker.

Loading...
scroll to top