Tiada lagi laungan ‘Tatap BN’ di Sabah selepas ini

Tiada-lagi-laungan-Tatap-BN-selepas-ini.jpg

Pemimpin Parti Komponen Barisan Nasional Negeri Sabah

UMNO masih lagi kekal dalam BN di peringkat Pusat tetapi di Sabah BN sudah tidak ada, jadi UMNO akan sertai PGBS berdasarkan persetujuan semua pihak khususnya pemimpin dalam parti komponen BN sebelum ini – Hajiji Noor, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Sabah

Barisan Nasional (BN) Sabah bakal berkubur selepas UMNO negeri turut menyatakan persetujuan menyertai blok pembangkang baharu, Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan BN telah kehilangan parti komponennya selepas beberapa parti tempatan mengumumkan keluar daripada gabungan itu sebelum ini. Beliau bagaimanapun menegaskan tiada mana-mana Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) UMNO yang akan meninggalkan parti sebaliknya parti itu akan menyertai PGBS sebagai salah satu komponen di dalamnya.

Datuk Seri Hajiji Noor

Hajiji Noor Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Sabah

“Soal BN dibubarkan tidak timbul, malah BN masih kekal sebagai satu entiti tetapi di Sabah kita ada blok pembangkang yang baharu iaitu PGBS.

“Namun, UMNO masih lagi kekal dalam BN di peringkat Pusat tetapi di Sabah BN sudah tidak ada, jadi UMNO akan sertai PGBS berdasarkan persetujuan semua pihak khususnya pemimpin dalam parti komponen BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenya­taan Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berhubung BN Sabah bakal dibubarkan selepas semua ADUN parti itu bersetuju menubuhkan blok pembangkang baharu iaitu PGBS.

Formula baharu yang dibentuk itu akan diwakili ADUN UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Soli­dariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara itu, Jeffrey ketika ditemui berkata, UMNO Sabah diminta menggunakan nama parti lain untuk menyertai PGBS.

“UMNO Sabah akan menyertai PGBS tetapi diharapkan mereka tukar nama dan identiti baharu sebelum sertai PGBS. Ini kerana, kami mahu parti tempatan sahaja yang menyertai PGBS,” katanya.

Loading...
scroll to top