UMNO Sabah sertai Gabungan Bersatu Sabah

Hajiji-Mohd-noor.jpg

Hajiji menjelaskan di peringkat pusat, Umno masih lagi dalam BN. Tetapi di Sabah, tidak ada lagi BN

UMNO Sabah akan menyertai gabungan parti pembangkang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah yang akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak lama lagi.

Pengerusi Umno Negeri Datuk Hajiji Mohd Noor berkata keputusan itu dibuat selepas parti komponen BN bertindak keluar selepas PRU14 lepas.

“Di peringkat pusat, Umno masih lagi dalam BN. Tetapi di Sabah, tidak ada lagi BN.

“Jadi, itulah sebab Gabungan Bersatu Sabah ini diwujudkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Hajiji, yang juga Adun Sulaman, diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang juga ADUN Tambunan, pada persidangan itu bahawa BN Sabah akan dibubarkan untuk menubuhkan blok pembangkang baharu.

Setiausaha Umno Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Umno masih sebahagian daripada BN, tetapi pembentukan Gabungan Bersatu Sabah itu berdasarkan kesepakatan Adun Umno dan pembangkang lain di Sabah.

Adun Karanaan itu juga memberitahu selain Umno, gabungan parti pembangkang baharu itu akan disertai antaranya, Parti Solidariti Tanah Airku pimpinan Jeffrey, PBS dan Adun bebas. – Bernama

Loading...
scroll to top