Bung Mokhtar ‘sekolahkan’ Maszlee

Bung-Mokhtar-sekolahkan-Maszlee.jpg

Terkenal sebagai seorang yang lantang bersuara dalam sidang Dewan Rakyat, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabata­ngan) sempat ‘sekolahkan’ Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mahu Maszlee yang bertanggungjawab menjaga sebuah kementerian paling pen­ting di negara ini agar sentiasa berintegriti ting­gi bagi memastikan agenda pembangunan masa depan generasi muda negara dapat dicapai.

“Sebagai menteri, dia (Maszlee) harus bertanggungjawab. Bila diangkat, dia ada tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.

“Jangan lakukan hal yang tidak tentu de­ngan rendahkan inte­griti. Kita sarankan dia lakukan yang terbaik, jangan buat seolah-olah tidak ada penge­tahuan,” katanya.

Terdahulu Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mencelah perbahasan tersebut bertanya pandangan Bung Moktar mengenai Maszlee yang muncul dalam sebuah klip video seolah-olah merendahkan martabat penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurut Bung Moktar, Maszlee juga tidak sepatutnya hanya memberikan fokus untuk melaksanakan pembaharuan dalam bidang pendidikan dengan cadangan untuk menukar warna kasut sekolah pelajar.

“Sibuk mahu tukar warna kasut sekolah kepada hitam, bukan mudah untuk rakyat yang daif.

“Sebagai contoh di kawasan saya 80 peratus orang daif. Kalau kasut sekolah warna hitam RM20 sepasang bagaimana mereka ma­hu tanggung kos tersebut? Kalau yang ada anak ramai lagi masalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu kerajaan Pakatan Harapan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Saya minta kerajaan tunaikan janji kerana rakyat akan kembali bertanya kepada kita. Jangan sombong dan jangan ego kerana kita naik seperti roda yang akan turun juga satu hari nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...
scroll to top