Calon BN di Penampang wajar diumum lebih awal

senator-John-Ambrose.jpg

Senator John Ambrose cadangkan calon kerusi Parlimen Penampang diumumkan lebih awal

PENAMPANG: Calon kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) wajar diumumkan lebih awal bagi mengurangkan ketegangan di antara mereka yang impikan kerusi terbabit.

Ketua Umno Bahagian Penampang Senator Datuk John Ambrose berkata, beliau akan berjumpa sendiri dengan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Umno bagi berbincang mengenai cadangan itu.

“Memang benar BN perlu mencari seorang calon pasti menang, muda selain disukai ramai. Saya mencadangkan penamaan calon untuk kerusi Parlimen Penampang diumumkan awal agar boleh menghentikan mereka yang impikan kerusi itu.

“Saya tidak marah mereka untuk mengejar impian itu, kalau pengumuman calon itu diawalkan di sini, sememangnya ada pihak yang marah tetapi dengan ada satu tempoh bertenang sebelum PRU nanti, saya percaya kemarahanmerekaakanreda,”katanyakepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di sini pada Sabtu.

Beliau juga berharap rakyat Penampang akan menilai kegigihan komponen BN bekerja dengan membawa banyak peruntukan demi menyelesaikan masalah seperti kebajikan masyarakat Penampang.

Katanya, selama lima tahun di bawah kepimpinan pembangkang, beliau telah berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan khusus untuk membantu semua rumah-rumah ibadat di Penampang.

“Setakat ini BN telah melakukan yang terbaik di sini, ketika banjir saya dan rakan BN turun padang ke kampung-kampung melihat sendiri apa yang kurang, siapa yang miskin serta memerlukan bantuan.

“Rakyat tempatan yang tiada kad pengenalan saya pastikan mereka dapat dan saya juga memastikan kawasan ini mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Menurutnya, Pakatan Harapan sudah mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan sejarah pemerintahan bekas perdana menteri itu tidak pernah memberi peluang besar kepada orang Sabah memegang jawatan sebagai menteri diperingkat persekutuan.

“Kini kita mempunyai enam menteri penuh di persekutuan, tidak kira dari Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) ataupun Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)

“Rakyat juga boleh nampak di sini bahawa pembangkang tidak dapat bersatu untuk menentang BN, saya melihat sekurangkurangnya Penampang mempunyai lima parti pembangkang yang akan bertanding pada PRU nanti,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 362 murid-murid SK Buit Hill telah menerima bantuan dalam bentuk wang tunai RM100 setiap orang. Murid-murid ini adalah tergolong daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. – Utusan Borneo

Loading...
scroll to top